Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Geng Vietnam Disyaki Curi Jual Pasport

Diterbitkan: 13 Jun 2014 6.25 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Sindiket terancang yang dipercayai didalangi oleh warga Vietnam dikesan melakukan jenayah pecah masuk kilang untuk mencuri pasport pekerja asing di daerah ini. Anggota sindiket itu memecah masuk kilan..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/geng-vietnam-disyaki-curi-jual-pasport
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:05 MYT

BATU PAHAT 21 Mei 2010 - Sindiket terancang yang dipercayai didalangi oleh warga Vietnam dikesan melakukan jenayah pecah masuk kilang untuk mencuri pasport pekerja asing di daerah ini.

Difahamkan pasport-pasport itu bertujuan untuk dijual kepada warga asing lain yang memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Adnan Azizon berkata, sehingga kini, sebanyak 532 pasport pekerja asing dilaporkan dicuri dalam enam kes berasingan setakat ini, setelah kilang tempat mereka bekerja dipecah masuk.

"Dalam kes-kes yang dilaporkan, pasport pekerja-pekerja asing ini disimpan oleh majikan dalam peti simpanan di pejabat kilang.

"Anggota sindiket itu memecah masuk kilang yang tidak beroperasi waktu malam untuk mencuri pasport tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.

Adnan berkata, trend mencuri pasport itu dikesan di bandar Batu Pahat, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tongkang Pechah.

Menurut beliau, semua butiran diri dan gambar dalam pasport yang dicuri, akan diubah suai agar menyerupai pengenalan diri pembeli dokumen tersebut.

Katanya, walaupun belum membuat sebarang tangkapan, polis berjaya mengenal pasti suspek yang melakukan jenayah itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dua premis berasingan.

"Dalam satu kes, suspek terdiri daripada tiga lelaki Vietnam yang berusia antara 20 dan 35 tahun.

"Manakala dalam kes lain, suspek yang terlibat terdiri daripada dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki keturunan Cina, berusia antara 20 dan 45 tahun," katanya.

Adnan berkata, tindakan majikan memegang pasport pekerja asing bukan suatu kesalahan namun majikan perlu bertanggungjawab untuk menyimpan pasport tersebut di tempat selamat.

Katanya, majikan perlu menggajikan pengawal keselamatan yang berkemampuan menjalankan tugas, memasang CCTV berkualiti dan lampu di dalam serta di luar premis selain menggunakan peti besi simpanan berkualiti.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya masih menyiasat bagaimana sindiket tersebut mengetahui lokasi pasport-pasport pekerja disimpan.

"Setelah gambar suspek ditunjukkan kepada mangsa, mereka menyatakan tidak mengenali suspek. Ini menunjukkan kemungkinan suspek tidak bekerja di situ," katanya.

Menurut beliau, masalah kecurian pasport itu kini membelenggu pengurus-pengurus kilang di daerah ini kerana urusan untuk mendapatkan pasport baru memakan masa yang lama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah masuk premis dan mencuri.

Jika sabit kesalahan katanya, pesalah akan dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tambahnya, kes turut disiasat atas kesalahan membeli pasport palsu dan memiliki pasport hilang atau yang dicuri.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 6.25 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM