Polis menumpaskan sekumpulan lima perompak jalanan selepas 12 jam mereka menyamun, termasuk melarikan dua kereta mewah, dalam serbuan di Taman Seri Sentosa, Klang, semalam.
Kumpulan itu tumpas selepas polis melepaskan beberapa das tembakan, yang mana satu das mengenai suspek serta berjaya membocorkan tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang dilarikan, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Suspek yang cedera itu bagaimanapun meloloskan diri manakala empat lagi berjaya ditahan selepas polis mengejar kenderaan mewah yang dicuri kumpulan itu sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi ia mula dikesan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata kumpulan itu aktif menyamun termasuk di jalanan sejak empat bulan lalu di beberapa daerah di negeri ini.
Sumber : Berita Harian