Geng Irwan Tumpas
MELAKA 15 Januari 2010 - Sejak dua tahun lalu, lima lelaki yang digelar Geng Irwan terbabit dalam lebih 30 kes pecah kereta dan samun wang tunai yang dianggarkan bernilai RM300,000 di seluruh negeri ini.
Tanpa mempedulikan keselamatan dan kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa, kumpulan penjenayah ini menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan mangsa sebelum melarikan wang tunai.
Akhirnya, kegiatan Geng Irwan ini tumpas apabila tiga daripada mereka ditahan dalam satu operasi di Batu Berendam pada bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd. Adnan Abdullah berkata, susulan penangkapan tiga lelaki itu, polis berjaya menahan dua lagi rakan mereka di Kuala Lumpur pada awal bulan ini.
"Kesemua ahli kumpulan Geng Irwan ini berusia lingkungan 20-an, terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan dua warga asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.
Menurut ACP Mohd. Adnan, pihaknya yakin dengan tertangkapnya lima ahli geng itu, lebih 30 kes pecah kenderaan dan samun sejak tahun 2007 dapat diselesaikan.
Beliau berkata, selain di Melaka, kumpulan tersebut juga dipercayai giat menjalankan kegiatan jenayah mereka di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Tambahnya, modus operandi kumpulan itu ialah meninjau mangsa yang mengeluarkan wang tunai yang banyak di sekitar institusi perbankan di negeri ini.
"Kumpulan ini akan menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan wang tunai dibawa mangsa.
"Terdapat beberapa kes di mana suspek akan menunggu mangsa leka sebelum membuka pintu kenderaan dan melarikan wang tunai tanpa disedari," tambahnya.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat ahli kumpulan terbabit yang masih bebas dan sedang memburu mereka.