Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Geng Gondol Mati Ditembak

Published: 13 Jun 2014 3.34 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Mengikut rekod Geng Gondol itu sering melakukan jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Lembah Klang seperti Ampang Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor yang kesemuanya 19 kes..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/geng-gondol-mati-ditembak
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 16:42 MYT

KUALA SELANGOR 16 Mac 2010 - Setelah lebih sebulan diburu, tiga penjenayah warga Indonesia yang dikenali sebagai Geng Gondol mati ditembak oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Tasik Kota Puteri dekat sini awal pagi ini.

Kejayaan menumpaskan penjenayah berusia 26 hingga 32 tahun itu turut menyelesaikan beberapa kes termasuk kejadian pecah rumah kediaman Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee di Taman TAR, Ampang Jaya, 28 Februari lalu yang melibatkan kerugian lebih RM400,000.

Kumpulan tersebut yang sebelum ini semuanya berkepala botak juga merompak sebuah rumah di Saujana Golf Resort Subang, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu mereka termasuk perancang kumpulan ditembak kerana cuba menyerang polis dengan bersenjatakan pump gun buatan sendiri dan dua bilah parang.

"Gerakan mereka dijejaki setelah polis melihat mereka berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kundang di sini tetapi enggan memberhentikan kereta Proton Waja yang dinaiki apabila diarahkan berbuat demikian.

"Sebaliknya mereka melarikan diri ke arah kawasan Tasik Kota Puteri sejauh empat kilometer sebelum kereta itu terbabas.

"Mereka kemudiannya keluar dari kenderaan dan menyerang polis dengan senjata-senjata tersebut. Bagi mempertahankan diri anggota polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai keempat-empat suspek.

"Polis turut merampas sebuah komputer riba, topeng muka dan alat-alat merompak dari kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid memberitahu, mengikut rekod Geng Gondol itu sering melakukan jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Lembah Klang seperti Ampang Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor yang kesemuanya 19 kes.

"Mereka baru sahaja mengganas di kawasan Kuang baru-baru ini. Mereka gemar menyamun tiga buah rumah secara serentak dalam satu malam dan kereta Waja yang digunakan dilaporkan hilang di Cheras," ujarnya.

Katanya, modus operandi geng itu ialah melakukan jenayah pada awal pagi dengan bertindak memecah pintu pagar, mengumpil pintu, masuk rumah dan mengikat mangsa, jika ada melawan akan dipukul atau dicederakan.

Beliau berkata, gerakan telah dilancarkan untuk memburu saki baki ahli kumpulan tersebut yang dipercayai masih bebas dan berada di sekitar Lembah Klang.

ArticlePublished 13 Jun 2014 3.34 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM