Geng Ahkong Tumpas
Labuan -
14 April 2010. Pasukan Polis Daerah Labuan telah berjaya menumpaskan
sekumpulan geng pecah rumah waktu malam yang dikenali sebagai 'Geng
Ahkong' yang aktif sejak Januari lalu apabila tujuh suspek termasuk
seorang pembeli barang curi telah berjaya diberkas.
Ketua
Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supritenden Saiman Kasran
menyatakan bahawa kesemua suspek merupakan lelaki tempatan yang berumur
antara 17 hingga 35 tahun telah ditahan secara berasingan dalam beberapa
serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat
Polis Daerah Labuan. Salah seorang suspek yang ditangkap merupakan
pekerja mengutip sampah yang dipercayai menjadi pengintip rumah yang
kosong atau ditinggalkan bagi memudahkan kerja-kerja pecah rumah yang
dilakukan oleh kumpulan ini.
Manakala pembelinya merupakan seorang lelaki Cina yang ditahan di kawasan kampung Saguking yang dipercayai menjadi tempat penjualan barang-barang curi berkenaan. Hasil daripada tangkapan tersebut pihak polis telah berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah yang dilakukan oleh kumpulan ini membabitkan kawasan Perumahan Taman Mutiara Sungai Bedaun, Layang-layangan, Jalan Tenaga, dan Jalan Penghulu Tuah. Hasil daripada tangkapan tersebut juga, pihak polis berjaya menemui kira-kira 35 jenis barang curi yang dianggarkan bernilai RM20,000.00.
Antara barangan curi yang ditemui semasa tangkapan, adalah seperti televisyen, MP3, DVD, pembesar suara, kamera digital, peti penyejuk beku, komputer riba, komputer peribadi, serta telefon bimbit dan pelbagai barangan lain. Turut berjaya ditemui adalah empat bentuk cincin emas, seutas gelang dan seutas rantai yang dianggarkan bernilai RM 1,000 serta wang tunai bernilai RM2,000.00.