Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Geng Abang Long Lumpuh

Diterbitkan: 17 Jun 2014 2.29 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Lima lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli Geng ‘Abang Long’ yang terlibat dalam kegiatan rompak sekitar daerah ini berjaya ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daer..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/geng-abang-long-lumpuh
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 15:04 MYT

Geng 'Abang Long' lumpuh

TAIPING –14 Mac 2013. Lima lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli Geng 'Abang Long' yang terlibat dalam kegiatan rompak sekitar daerah ini berjaya ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pada 10 Mac lalu jam antara 3 hingga 4 pagi, sepasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Tekkah, Assam Kumbang.

Menurutnya, dalam serbuan di rumah berkenaan, polis berjaya menahan empat lelaki dengan tiga daripadanya cuba melarikan diri mengikut pintu belakang sekali gus berlaku sedikit pergelutan.

"Di rumah yang sama, pihak polis berjaya menangkap seorang lagi suspek yang sedang tidur di dalam bilik," katanya ketika sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil tangkapan empat lelaki itu, polis pergi ke kawasan Kampung Kurnia, Kamunting dan berjaya menangkap seorang wanita.

"Apabila soal siasat dilakukan terhadap semua suspek, akhirnya polis sekali lagi membuat serbuan di kawasan Kampung Perak, Matang dan menahan seorang lagi suspek lelaki," katanya.

Yusuf berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut menemui sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan rompakan.

"Malah kita juga berjaya merampas satu senapang angin buatan sendiri dan empat butir peluru shotgun 12 ball".

"Dari semua serbuan yang dilakukan, pihak polis juga turut berjaya merampas satu kerambit, dua bilah parang, tiga telefon bimbit dan dua komputer mini (PDA)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusuf berkata, pihak polis turut menjalankan ujian saringan air kencing dan tiga daripada mereka didapati positif dadah.

"Kesemua yang ditahan berumur 20 hingga 28 tahun dan ketua kumpulan ini juga dikenal pasti mempunyai rekod lampau," katanya.

Yusuf berkata, dengan tertangkapnya enam suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan kes rompak berkumpulan bersenjatakan parang serta menggunakan pistol di sekitar bandar Taiping.

"Lima tangkapan pertama kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, rompak berkawan tanpa bersenjata api dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

"Manakala bagi tangkapan keenam, suspek direman selama lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Bagi Seksyen 8(a) Akta Senjata membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya. 

SUMBER: SINAR HARIAN

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 2.29 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM