Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Garis Waktu Dakota Kn 630

Diterbitkan: 09 Jun 2014 8.49 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.46 PM
Kapal terbang yang membawa 12 orang krew itu dalam perjalanan pulang ke pangkalan setelah selesai melaksanakan misi menggugurkan ‘smoke marker’ di kawasan berhampiran Kg. Jendera, Ulu Kelantan..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/garis-waktu-dakota-kn-630
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 03:12 MYT

Gua Musang, Kelantan - 14 November 2008. Kapal terbang peninjau Tentera Udara Diraja British (RAF) jenis Dakota C MK IV KN 630 daripada 52 Skuadron RAF yang berpengkalan di Changi, Singapura dan membawa 12 orang krew dan penumpang telah terhempas pada 25 Ogos 1950 di kedudukan 05 darjah 11' 1" Utara dan 101 darjah 37' 30" Timor (MR 028768). Kapal terbang tersebut dipercayai terhempas akibat cuaca buruk dan kerosakan teknikal di kawasan Hutan Rizab Baloh, Bertam, Gua Musang berhampiran Banjaran Titiwangsa yang diliputi hutan tebal dan bergunung-ganang di mana kapal terbang yang terhempas berada di kedudukan hampir 3,500 kaki dari aras laut.

Kapal terbang yang membawa 12 orang krew itu dalam perjalanan pulang ke pangkalan setelah selesai melaksanakan misi menggugurkan 'smoke marker' di kawasan berhampiran Kg. Jendera, Ulu Kelantan bagi membantu misi pengeboman ke atas lokasi kedudukan komunis semasa era darurat.

Kesemua 12 orang ( 8 krew dan 4 penumpang - 3 anggota Royal Air Force, 5 anggota British Army, 1 anggota polis, 2 orang awam dari Kelantan Deveplopment Corp dan 1 orang asli ) yang berada dalam pesawat Dakota C MK IV KN 630 telah terkorban semasa ia terhempas. Setelah menerima maklumat, Pasukan Pencari dan Penyelamat yang terdiri daripada tentera dan polis telah ditubuhkan dan menemui bangkai kapal terbang yang terhempas dan kesemua mayat pada 3 September 1950. Mengambil kira situasi muka bumi dan ancaman komunis ketika itu, kesemua mayat telah dikumpulkan dan diletakkan di dalam kanvas dan ditanam di kedalaman 4 kaki, di sebelah selatan menghadap bangkai kapal terbang tersebut yang berhampiran dengan Sungai Penchong.

Krew dan penumpang pesawat Dakota C MK IV KN 630 yang terkorban ialah :-

1. 1424297 Edward Robert Talbot              ( Sergeant Pilot)
2. 3014864 Geoffrey Clerence Carpenter    ( Cpl Navigator )
3. 1136259 Thomas O’ Toole                     ( Flight Sergeant )
4. T/22230494 Cpl F Bryant                       ( Royal Army Service Corps despatchers )
5. T/22200652 P Taylor                            ( RASC )
6. T/14191795 A Wilcon                           ( RASC )
7. T/19043525 M Goldsmith                      ( RASC )
8. 73158 Major J.H. Procor                      ( Attached 2nd Malaya Regiment )
9. Mr. Anker Rentse                                ( Peg. Pembangunan Kelantan Development Corp )
10. PC 9364 Mohammed Abdul Jalil         ( Police Constable)
11. Ya’akob bin Mamat                           ( Pekerja Mr. Anker Rentse )
12. Asip Sakiak                                      ( Orang Asli suku Temiar sebagai penunjuk arah )

Peristiwa kapal terbang pesawat Dakota C MK IV KN 630 yang terhempas telah disiarkan di akhbar The Straits Times, The Sunday Times dan News Straits Times Press pada 26 Ogos dan 27 Ogos 1950.

Rentetan peristiwa itu, dengan maklumat yang terkumpul dan diterima dari Kementerian Pertahanan Britain, Kementerian Pertahanan telah menubuh Pasukan Pencari pada 19 Jun 2008 untuk mengesan lokasi kapal terbang pesawat Dakota C MK IV KN 630 yang terhempas. Pasukan Pencari telah dibahagikan kepada dua kumpulan sambil dibantu oleh 2 orang asli sebagai penunjuk arah dari Kg. Penchong dan Kg. Bering. Kumpulan yang bergerak pada 8.00 pagi itu telah menemui bangkai kapal terbang pesawat Dakota C MK IV KN 630 pada jam 11.30 pagi yang terletak lebih kurang 7 kilometer dari Kg. Penchong.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Pertahanan telah menjemput Polis Diraja Malaysia untuk bersama-sama berganding usaha agar penghormatan dapat diberikan kepada wira-wira negara yang telah terkorban. Pihak British juga berhasrat untuk membawa keluar kesemua rangka-rangka manusia milik warga British yang bakal dikenal pasti melalui ujian forensik supaya istiadat penghormatan ketenteraan dapat diberikan.

Muzium Polis Diraja Malaysia telah bekerjasama dengan Muzium Tentera Darat telah pergi ke lokasi kapal terbang pesawat Dakota C MK IV KN 630 terhempas untuk melakukan kajian/dokumentasi dan pada 15 - 19 Oktober 2008. Muzium PDRM telah diketuai oleh Supt. Syed Zainal Abidin bin Syed Zin, Kurator Muzium PDRM bersama 7 anggota dan Muzium Tentera Darat pula diketuai oleh Mejar Mohamad Izam bin Md Yamin bersama 10 anggotanya. Selain itu, bantuan juga diterima dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang yang menghantar 6 orang anggota dan 2 pelajar dari Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Perjalanan dari IPD Gua Musang ke tempat kejadian kapal terbang terhempas adalah sejauh 102 kilometer. Dari IPD Gua Musang, konvoi bergerak melalui Jalan Dabong, Jelawang Jeli sejauh 40 km sehingga ke simpang Kg. Meranto. Dari Kg. Meranto pula, konvoi melalui laluan balak sejauh 62 km yang mengambil masa selama 5 jam. Hampir 3 jam pula diambil dari tapak perkhemahan, melalui laluan balak sejauh 2.5 km dan laluan hutan yang berbukit bukau sejauh hampir 7 kilometer untuk sampai ke tempat kapal terbang terhempas. Sepanjang laluan balak, konvoi yang menggunakan 5 buah kenderaan pacuan 4 roda, telah merentasi beberapa sungai seperti Sg. Meranto, Sg. Bagor,Sg, Pulan, Sg. Tenom, Sg. Jendera, Sg. Tabah dan Sg. Penchong dan juga 3 perkampungan orang asli. Perkampungan orang asli yang besar itu adalah Kg. Kajang, Kg. Bering dan Kg. Penchong dari suku kaum Temiar.

Sepanjang beberapa hari berada di lokasi, pihak Muzium PDRM dan Muzium Tentera Darat telah melakukan penugasan seperti mengambil gambar bangkai kapal terbang yang terhempas dan menentukan kedudukan lokasi tanah perkuburan dengan menggunakan peralatan 'Scan'. Bangkai kapal terbang yang masih tinggal ialah sayap kanan dan bahagian ekor sepanjang 10 meter. Beberapa bahagian penting lain seperti muncung hadapan pesawat telah hilang, dipercayai dibawa arus deras Sungai Penchong.

Pada 2 November hingga 12 November 2008, rancangan membawa keluar rangka manusia krew pesawat Tentera Udara Diraja British (RAF) jenis Dakota C MK IV KN 630 telah dijalankan antara Kementerian Pertahanan dan juga Polis Diraja Malaysia sambil dibantu oleh lain-lain jabatan. Misi ini dinamakan Ekspedisi Merungkai Sejarah - Garis Waktu Dakota KN 630. Antara yang terlibat ialah Muzium Tentera Darat, Makmal Forensik PDRM, Muzium PDRM, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Warisan Negara, Universiti Sains Malaysia (Forensik)Kubang Kerian, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Kumpulan Sejarah Malaysia dan juga wartawan/jurugambar dari Bernama.

ATM diketuai oleh Left. Kolonel Norhayati binti Mansor, Pengarah Muzium Tentera Darat sementara PDRM pula diketuai oleh YDH SAC II Dato' Abd Malek bin Hj. Harun, Ketua Penolong Pengarah Makmal Forensik PDRM, IPD Gua Musang diketuai oleh Supt. Ahmad Termizi Hj. Abdul Haq, C/Insp Hasfullah bin Samsudin mengetuai Muzium PDRM, Encik Mohamad Mahfuz bin Nordin dari Jabatan Warisan Negara, Encik Asmat Sulaiman mengetuai pasukan dokumentari, Jabatan Perubatan Forensik HKL pula diketuai oleh Dr. Mohd Shah bin Mahmud, Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara merangkap Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL dan Dr. Zafarina binti Zainuddin pula mengetuai USM (Forensik). Kolonel Paul Edwards dan 2 anggota Tentera Udara Diraja British mewakili Kementerian Pertahanan Britain dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British.

Konvoi bergerak dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang pada jam 10.00 pagi , 3 November 2008 dengan menaiki 17 buah kenderaan pacuan 4 roda yang jaraknya sejauh 102 km, mengambil masa 11 jam untuk sampai ke tapak perkhemahan pertama yang berhampiran dengan kem balak. Masa yang panjang ini disebabkan laluan balak yang sungguh mencabar dan juga hujan lebat yang menyukarkan lagi laluan tersebut. Pasukan Muzium Tentera Darat dan Muzium PDRM pula bergerak ke tapak perkhemahan kedua yang berada di bawah kaki bukit ( ketinggian 1310 meter) dan berada lebih kurang 750 meter dari kapal terbang terhempas pada 4 November 2008. Perjalanan merentas bukit dan hutan sejauh 7 kilometer dalam keadaan hujan renyai itu mengambil masa 5 jam dari tapak perkhemahan pertama ke tapak perkhemahan kedua dengan mengusung peralatan dan juga makanan bagi memudahkan penugasan setiap hari di tapak perkuburan dan kapal terbang terhempas.

Ditapak perkhemahan pertama didirikan Markas Kawalan dan juga Markas Taktikal bagi menyelaraskan penugasan-penugasan membawa keluar rangka manusia krew pesawat Tentera Udara Diraja British (RAF) jenis Dakota C MK IV KN 630. PDRM telah melantik YDH SAC II Dato' Abd Malek Hj Harun, Ketua Penolong Pengarah Makmal Forensik PDRM sebagai Pegawai Pemerintah sambil dibantu oleh ACP Muhamad Abdul Aziz dan Supt. Ahmad Termizi sebagai Penolong Pegawai Pemerintah.

Penggunaan telefon satelit juga digunakan untuk kemudahan komunikasi secara terus bagi mendapatkan bantuan digunakan dikawasan ini memandangkan keadaan cuaca ditempat tinggi yang sentiasa hujan dan bentuk muka bumi yang kurang sesuai untuk menggunakan radio semboyan. Komunikasi PDRM telah diseliakan oleh 3 anggota dari Batalion 8, Pasukan Gerakan Am.

Pihak Kementerian Pertahanan juga mendapatkan nasihat daripada pakar rujuk tentang analisa DNA dan juga pakar arkeologi untuk tindakan penggalian (excavation) dari Jabatan Warisan Negara. Kepakaran forensik yang dimiliki oleh Makmal Forensik PDRM dan Universiti Sains Malaysia (Forensik) akan dapat merealisasikan usaha tentang analisa DNA.

Disebabkan keadaan cuaca dan suhu yang lembab di kawasan tersebut akan menyebabkan sel terurai (degradation) dengan cepat, hasil keputusan analisa DNA menggunakan kaedah nucleus amatlah tipis. Oleh itu kaedah analisa mitokondria DNA (mtDNA) akan dilakukan dan kaedah ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan. Bagi sampel rujukan (reference sample), hendaklah diambil dari keluarga disebelah pihak ibu mangsa, adik beradik perempuan atau anak adik beradik perempuan. Makmal Forensik PDRM juga akan membuat pengenalan mangsa Bencana (DVI - Disaster Victim Identification).

Tentera Darat pula akan mengenal pasti dan mengkordinasi keperluan teknikal, laluan dan pembinaan 'Landing Point' jika perlu. Selain itu, Muzium Tentera Darat juga akan membuat evakuasi dan pesawat ini akan diklasifikasikan sebagai artifak perang yang tertakluk di bawah seliaan Muzium Tentera Darat.

Di atas usaha tindakan penggalian selama beberapa hari, beberapa serpihan tulang dan cebisan jaket keselamatan telah ditemui oleh pihak Muzium Tentera Darat.

Sebelum semua yang terlibat di dalam Ekspedisi Merungkai Sejarah - Garis Waktu Dakota KN 630 pulang ke tapak perkhemahan di hari terakhir, satu upacara keagamaan dan penghormatan diberikan kepada yang terkorban di bangkai kapal terbang yang terhempas itu. Upacara keagamaan kristian di ketuai sendiri oleh Kolonel Paul Edwards dan bacaan tahlil doa selamat diketuai oleh Sjn Ramli dari IPD Gua Musang.

Muzium PDRM pula membuat kajian/dokumentasi peristiwa kapal terbang terhempas untuk sisipan sejarah di Muzium PDRM. Kenyataan Media untuk mengesan waris PC 9364 Mohamad bin Abd Jalil yang ketika itu berusia 25 tahun dan juga Che Ya'akob bin Mamat ( 30 tahun ) telah dikeluarkan oleh pihak Muzium PDRM dan juga Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat waris, keluarga atau rakan-rakan yang mengenali beliau.

Hasil usaha ini, pihak Muzium PDRM telah dihubungi oleh waris PC 9364 Mohamad bin Abd Jalil pada 5 November 2008 dimana Allahyarham PC 9364 Mohamad bin Abd Jalil merupakan anak ketiga dari lapan adik beradik. Dari lapan adik beradik, hanya 3 lagi yang masih hidup dan menetap di negeri Johor ( Johor Bahru dan Muar )

Pihak Muzium PDRM juga telah dihubungi oleh cucu waris Ya'akob bin Mamat pada 29 Oktober 2008. Tiga anak Allahyarham Ya'akob bin Mamat telah dapat dikesan di mana 2 menetap di Kota Bahru Kelantan dan seorang lagi di Kuala Lumpur.

Ekspedisi Merungkai Sejarah - Garis Waktu Dakota KN 630 ini merupakan kejayaan yang besar kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertahanan Britain dan Polis Diraja Malaysia bagi menjana sejarah warisan negara.

Garis Waktu Dakota Kn 630 
Supt. Syed Zainal Abidin bin Syed Zin, Kurator Muzium PDRM bersama 7 anggota dan Muzium Tentera Darat pula diketuai oleh Mejar Mohamad Izam bin Md Yamin bersama 10 anggotanya semasa ekspedisi yang pertama pada 15 - 19 Okt 2008.

Garis Waktu Dakota Kn 630
YDH SAC II Dato' Abd Malek bin Hj. Harun, Ketua Penolong Pengarah Makmal Forensik PDRM mengetuai PDRM di Ekspedisi Merungkai Sejarah - Garis Waktu Dakota KN 630 dari 2 - 12 November 2008 bergambar kenangan dengan semua yang terlibat di hadapan IPD Gua Musang

Garis Waktu Dakota Kn 630
dari kiri...YDH SAC II Dato' Abd Malek Hj Harun, Kapten Mohamad Izam bin Md Yamin,
Kolonel Paul Edwards dan Left. Kolonel Norhayati Mansor

Garis Waktu Dakota Kn 630
Merentasi Sungai Penchong....antara laluan sejauh 62 km menggunakan laluan balak

Garis Waktu Dakota Kn 630
Bahagian ekor Dakota C MK IV KN 630

Garis Waktu Dakota Kn 630
Sayap kanan .... Muzium Tentera Darat sedang melakukan evakuasi

Garis Waktu Dakota Kn 630
Berganding bahu menjalankan tugas masing-masing

Garis Waktu Dakota Kn 630Me
ngayak tanah untuk mengesan struktur yang kecil seperti gigi...

Garis Waktu Dakota Kn 630
Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Perubatan Forensik HKL sedang melakukan kajian kandungan pH tanah.

Garis Waktu Dakota Kn 630
Bacaan Tahlil...semoga roh dicucuri rahmat...Amin

Garis Waktu Dakota Kn 630
ACP Mohamad Abdul Aziz, mewakili PDRM meletakkan kalungan bunga sebagai penghormatan kepada  anggota polis yang turut terkorban.

Garis Waktu Dakota Kn 630
Kolonel Paul Edwards memberi tabik hormat sebagai penghormatan kepada 8 anggota tentera Britain yang terkorban

ArtikelDiterbitkan 09 Jun 2014 8.49 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.46 PM