Fenomena Air Pasang Besar Polis Terengganu Pantau Pantai Peranginan
Kuala Terengganu, 26 Jan - Polis Terengganu membuat pemantauan dan menempatkan anggota di kawasan pantai termasuk pantai peranginan yang berisiko susulan fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rosli Ab Rahman berkata Unit Rondaan Bermotosikal (IRB) dan kereta peronda juga digerakkan bagi menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di kawasan pantai.
"Itu kawasan berisiko dan jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini kerja-kerja menyelamat sukar dijalankan.
"Saya nasihatkan agar penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa" katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tegas beliau, fenomena itu bukanlah satu pesta dan orang ramai perlu menitik-beratkan aspek keselamatan sepanjang masa memandangkan fenomena tersebut dijangka berterusan sehingga awal Februari ini.
- BERNAMA