Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Enam Anggota Geng Puput Ditahan Bersabit Kes Pecah Rumah

Published: 18 Jun 2014 12.44 AM Updated: 15 Aug 2026 7.41 PM
Shah Alam, 5 Sept - Polis memberkas enam lelaki anggota geng 'Puput' yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di beberapa lokasi di Shah Alam, sepanjang tahun ini...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/enam-anggota-geng-puput-ditahan-bersabit-kes-pecah-rumah
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 06:35 MYT

Shah Alam, 5 Sept - Polis memberkas enam lelaki anggota geng 'Puput' yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di beberapa lokasi di Shah Alam, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata kesemua suspek berumur lingkungan 22 dan 29 tahun itu diberkas di rumah sewa masing-masing di dua lokasi iaitu di Kampung Baru Subang dan Denai Alam, di sini.

"Kesemua suspek ini ditahan dalam tiga serbuan berasingan. Dalam serbuan pertama pada 30 Ogos lepas, tiga suspek diberkas pada pukul 12 malam di Kampung Baru Subang dan hasil soal-siasat ke atas mereka membawa kepada penahanan seorang lagi suspek tiga jam kemudian di kawasan yang sama.

"Manakala dua lagi suspek ditahan di Denai Alam pada Sabtu lepas kira-kira pukul 4.30 pagi dan hasil penahanan itu polis turut menemui semula barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka berjumlah hampir RM50,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah beberapa utas jam tangan pelbagai jenama, telefon bimbit, televisyen LCD dan pelbagai eksesori wanita.

Katanya, kumpulan penjenayah itu akan memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu hadapan, dan mereka tidak meletakkan sasaran jenis rumah atau waktu untuk mereka melakukan jenayah ini, janji ada peluang mereka akan lakukan (jenayah).

"Kumpulan ini digelar geng Puput kerana bos mereka (ketua kumpulan) iaitu seorang lelaki berusia 30-an dipanggil Puput. Buat masa ini kita masih berusaha untuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini," tambahnya.

Ujian air kencing ke atas kesemua suspek terbabit mendapati mereka positif dadah.

Zahedi berkata dengan tertangkapnya keenam-enam suspek itu polis berjaya menyelesaikan 10 kes berkaitan jenayah pecah rumah dan kesemua mereka kini direman bermula dari tarikh tangkapan sehingga Isnin ini untuk siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan empat lelaki kerana terlibat dalam kes pergaduhan dan kongsi gelap di daerah ini.

Zahedi berkata keempat-empat suspek itu sebelum ini pernah ditahan kerana terlibat dalam satu kes pergaduhan di Seksyen 25 di sini pada 2010, namun telah dibebaskan oleh mahkamah kerana tiada bukti yang boleh mensabitkan mereka.

"Berikutan daripada 'Ops Cantas' yang dilancarkan baru-baru ini kita mengambil langkah proaktif dengan mengesan semula kumpulan-kumpulan gangster ini dan mereka kini ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1957.

"Selain empat suspek ini, seorang lagi suspek yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan mendatangkan kecederaan akan turut ditahan di bawah akta yang sama," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya dengan tindakan agresif menerusi 'Ops Cantas' dan penahanan suspek-suspek tersebut di bawah Akta Pencegahan Jenayah ia mampu mengurangkan jenayah kekerasan yang berlaku di daerah ini. 

Sumber : BERNAMA

ArticlePublished 18 Jun 2014 12.44 AMUpdated 15 Aug 2026 7.41 PM