Artikel
Empat Perompak Berpakaian Serba Hitam Mati Ditembak Di Ipoh
Sekumpulan empat perompak berpakaian serba hitam dipercayai warganegara asing ditembak mati oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Taman Meru 2C, di sini...
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kumpulan itu dipercayai melakukan 15 kes rompakan di Ipoh dan daerah lain antaranya Kuala Kangar, Sungai Siput dan Taiping dengan memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu jeriji besi atau tingkap ketika penghuni nyenyak tidur di awal pagi, kemudian mengikat atau mengurung mangsa sebelum melarikan diri.
"Pada 30 Ogos lepas, terdapat satu kejadian samun di kawasan perumahan Puncak Meru di sini yang melibatkan kerugian RM9,000 dan semalam satu lagi kes serupa berlaku di sebuah rumah syarikat, di kawasan perumahan Meru Valley Golf di sini yang melibatkan seorang pelatih dan sepasang suami isteri yang merupakan perunding perniagaan yang kesemua dari Jepun serta mengalami kerugian RM200,000," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata polis meningkatkan rondaan di awal pagi dan berdasarkan maklumat orang awam, pada 2 pagi tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Perak, mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dengan nombor pendaftaran palsu WJD 473 dinaiki empat orang lelaki yang mencurigakan di kawasan Meru, Jelapang.
Apabila diarahkan berhenti, pemandu berkenaan memecut ke arah Taman Meru 2C dengan dua buah kereta polis mengejar kumpulan itu antara 20 dan 30 minit, katanya.