Empat Ah Long Ditahan Di Jerteh Dan Besut
Empat Ah Long Ditahan Di Jerteh Dan Besut
Kuala
Terengganu, 9 April - Empat individu yang dipercayai 'Ah Long' yang
sedang berusaha memberi pinjaman kepada orang ramai ditahan di sekitar
Jerteh dan Besut awal bulan ini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supt Koh Ah Tiam berkata
mereka yang berusia antara 22 hingga 45 tahun ditahan berikutan aduan
orang ramai.
Mereka dipercayai datang dari luar negeri ini, katanya.
"Bertindak atas maklumat tersebut, kita menjalankan siasatan dan berjaya memberkas tiga lelaki di sebuah kedai di Jerteh.
"Ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiganya sedang mendekati mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata hasil siasatan ke atas mereka, seorang lagi lelaki yang
dipercayai sebagai penyelia mereka ditahan pada 4 April di Besut dan
daripadanya dirampas sejumlah wang tunai serta dokumen urus niaga
pinjaman.
Koh
berkata ahli kumpulan ini dipercayai baharu dua bulan menjalankan
kegiatan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi
Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2011). - BERNAMA