Dua Premis Judi Haram Diserbu Tujuh Individu Ditahan
George
Town, 13 Jun - Polis merampas 10 set komputer yang telah diubahsuai
untuk perjudian dan menahan enam lelaki dan seorang wanita dalam serbuan
berasingan di kedai internet dan sebuah pusat hiburan di Air Itam, di
sini hari ini dan semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Idris berkata dalam serbuan di kedai internet di Jalan Pasar pada 12.15 tengah hari, polis menahan pemilik premis dan dua pemain judi berusia 25 dan 50 tahun.
"Kedai
berkenaan baru sahaja memulakan operasi dan ia dibuka bermula jam 12
tengah hari khusus kepada pekerja yang sedang berehat sehingga lewat
malam," katanya kepada pemberita.
Dalam
serbuan di pusat hiburan di Medan Angsana Bandar Baru pada 1.30 tengah
hari semalam, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura
dan seorang wanita warga Vietnam berusia 30-an hingga 40-an yang berada
dalam premis itu.
"Dalam serbuan itu kita turut merampas 10 komputer, tiga modem dan wang tunai berjumlah RM1,300," katanya.
Katanya
pemilik premis boleh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi
Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap mesin judi
atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala
pemain judi mengikut Seksyen 7 (2) akta yang sama yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.
BERNAMA