Pasangan Suami Isteri Antara Empat Ditahan Terlibat Kes Wang
Shah
Alam, 13 Jun - Polis menahan empat individu termasuk pasangan suami
isteri, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia
minggu lepas kerana dipercayai terlibat dalam 13 kes pembelian telefon
bimbit menggunakan wang palsu membabitkan kerugian RM21,000 sejak
Oktober tahun lepas.
Pemangku
Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata pasangan berumur 29
dan 28 tahun itu ditangkap di tempat letak kereta Flat Desa Mentari,
Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 9.45 pagi, 5 Jun lepas.
Beliau
berkata suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan isterinya yang
tidak bekerja kemudian membawa polis ke unit kediaman mereka dan
menjumpai enam telefon bimbit jenama Samsung Note II, Samsung Galaxy S4,
Sony Ericsson, Nokia dan Alcatel.
"Modus
operandi pasangan suami isteri ini ialah mereka akan hubungi mangsa
yang mengiklankan penjualan telefon bimbit melalui laman web mudah.com
dan mereka akan berjumpa dengan mangsa untuk membeli telefon bimbit.
Selepas menerima telefon bimbit, mereka membuat bayaran dengan wang
palsu yang diletak dalam sampul surat.
"Selepas
mangsa terima sampul surat itu, pasangan suami isteri terbabit akan
segera beritahu bahawa mereka perlu ambil anak di sekolah serta
tergesa-gesa meninggalkan mangsa tanpa sempat mangsa memeriksa wang
berkenaan. Setelah diperiksa, mangsa dapati wang dalam sampul adalah
wang palsu yang mempunyai nombor siri sama," katanya pada sidang media
di sini, hari ini.
Thaiveegan
berkata siasatan ke atas pasangan membawa kepada penahanan seorang
penghantar surat berumur 30 tahun yang merupakan abang suspek wanita itu
di rumahnya di flat sama pada 2 petang, 11 Jun lepas.
Beliau
berkata semasa tangkapan itu, polis turut merampas tiga keping wang
kertas RM100 dipercayai palsu dan beberapa imej wang yang belum siap
sepenuhnya.
Kira-kira
setengah jam kemudian, katanya, polis turut menahan seorang lelaki
warga Indonesia berumur 27 tahun yang datang ke rumah suspek lelaki
berkenaan. Siasatan mendapati lelaki Indonesia itu tiada sebarang
dokumen perjalanan dan menemui lapan keping wang kertas RM100 disyaki
palsu.
"Suspek
itu kemudian membawa polis ke rumahnya di Kampung Medan, Petaling Jaya
dan di sana, polis merampas sebuah pencetak 3 dalam 1 berfungsi untuk
mengimbas, fotostat dan mencetak, banyak helaian wang kertas palsu yang
rosak selepas dicetak serta barangan lain untuk membuat wang palsu
seperti kertas A4, gunting dan kertas kilat. Mereka dipercayai memproses
wang palsu berkenaan di rumah lelaki Indonesia itu," katanya.
Beliau
berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek telah menjalankan
kegiatan itu sejak Oktober tahun lepas dan lelaki Indonesia serta
penghantar surat terbabit didapati turut terlibat dalam penyalahgunaan
dadah.
Thaiveegan
berkata kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 489C Kanun Keseksaan iaitu memiliki wang palsu dan 489D Kanun
yang sama bagi kesalahan membuat atau memiliki peralatan mencetak wang
palsu.
BERNAMA

Antara duit palsu yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Selangor.