Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Penyamun Larikan Rm500 000 Diberkas Polis

Published: 13 Jun 2014 2.48 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
IPOH 28 Dis. - Tindakan berani dua anggota polis peronda merempuh sebuah kereta penjenayah berakhir dengan dua daripada lima suspek berjaya diberkas kira-kira setengah jam selepas menyamun sebuah van ..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-penyamun-larikan-rm500-000-diberkas-polis
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 23:39 MYT

IPOH 28 Dis. - Tindakan berani dua anggota polis peronda merempuh sebuah kereta penjenayah berakhir dengan dua daripada lima suspek berjaya diberkas kira-kira setengah jam selepas menyamun sebuah van keselamatan di Bercham di sini hari ini.

Tindakan tersebut juga menyebabkan kelima-lima penyamun terpaksa berputih mata apabila wang RM500,000 yang dilarikan mereka berjaya dirampas.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika van berkenaan berhenti di hadapan sebuah premis nombor ekor.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, penjenayah kemudian meluru lalu bergelut dengan dua pengawal di van itu sebelum bertindak melarikan wang di dalamnya.

"Kumpulan penjenayah terbabit turut merampas sepucuk senapang milik salah seorang pengawal bersama beberapa beg yang penuh berisi wang tunai.

"Dua pengawal itu pula cedera ditetak. Suspek kemudian melarikan diri menggunakan dua buah kenderaan yang menunggu di jalan utama," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Azisman berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya telah menggerakkan pasukan peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi mengesan suspek yang melarikan diri ke arah Gopeng.

Kata beliau, salah sebuah kereta yang dinaiki suspek iaitu Toyota Caldina kemudian dikesan memecut ke arah Gopeng dan cuba dikejar unit peronda dari IPD Kampar.

"Kenderaan tersebut hanya mampu diberhentikan selepas anggota peronda bertindak berani merempuh Toyota Caldina di satu selekoh berhampiran Kilometer 15, Jalan Gopeng-Kampar.

"Hasil keberanian anggota polis unit peronda itu, kedua-dua suspek kemudian berjaya ditangkap di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Menurutnya, beberapa beg berisi wang tunai serta selaras senapang milik pengawal keselamatan turut dijumpai.

"Akibat rempuhan itu, dua anggota peronda terbabit mengalami kecederaan dan telah pun dihantar menerima rawatan di Hospital Kampar. Keadaan kedua-duanya stabil," katanya.

Kata Azisman, pihaknya masih memburu tiga lagi suspek yang menaiki sebuah kereta Toyota Alphard berwarna putih dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

ArticlePublished 13 Jun 2014 2.48 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM