Dua Penjenayah Ditembak Mati
KUALA LUMPUR - 19 Mei 2009. Polis menembak mati dua penjenayah yang baru sahaja beberapa bulan dibebaskan dari Ordinan Darurat di Pusat Tahanan Simpang Renggam, dalam satu insiden di Damansara Kim berdekatan Hospital Pakar Damansara di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, dua lelaki berkenaan baru sahaja menculik seorang lelaki warga Myanmar sebelum bertembung dengan kereta peronda polis yang kebetulan menjalankan operasi di kawasan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Dato' Hasnan Hassan berkata ketika polis hendak menahan mereka, suspek yang memandu kereta jenis Hoda Civic bertindak melarikan diri sejauh satu setengah kilometer sebelum menghimpit dan melanggar sebuah kereta peronda polis.
Setelah kereta yang dipandu mereka terbabas, seorang dari suspek bertindak menyerang polis dengan parang dan seorang lagi melarikan diri sambil melepaskan tembakan yang membuatkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk melindungi diri. Kedua-dua suspek mati di tempat kejadian.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang bersaiz 60cm dan sepucuk pistol semi automatik bersama peluru pada kedua-dua suspek. Kereta Honda Civic yang dipandu penjenayah juga pernah dilaporkan disamun pada 6 Mei di Subang Jaya.
Kedua-dua suspek yang berusia 20-an dan 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, rogol, dadah dan baru sahaja dibebaskan dari Ordinan Darurat.
Polis juga mencatat lagi satu kejayaan apabila berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada diculik. Mangsa warga Myanmar yang berusia 25 tahun diculik di tepi jalan.
Suspek dipercayai mahu menyamun mangsa berikutan suspek meminta kad bank mangsa dipercayai untuk memaksa mangsa mengeluarkan wangnya. Mangsa juga mengalami lebam-lebam di badannya.
Polis percaya masih ada baki anggota kumpulan itu yang masih bebas dan polis akan terus menjejaki kesemua mereka.