Dua Makmal Proses Dadah Dibongkar
George
Town, 23 Dis - Pihak polis membongkar dua buah makmal memproses dadah
di Seberang Perai pada Jumaat dan Sabtu lepas serta merampas kira-kira 4
kilogram heroin dan syabu bernilai kira-kira RM600,000.
Empat
orang termasuk seorang wanita Thai turut ditahan di dua buah rumah
teres di Simpang Ampat dan Bagan Ajam yang dijadikan makmal tersebut.
Empat buah kereta turut dirampas dalam serbuan itu.
Timbalan
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata pihaknya menyerbu
sebuah rumah teres di Bagan Ajam pada Sabtu dan menahan seorang lelaki
berumur 58 tahun dan wanita Thailand berusia 28 tahun.
Beliau berkata di situ polis merampas 1.2 kilogram syabu dan 2.28 kilogram heroin serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Lelaki
terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah
dan senjata api, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata kedua-dua suspek terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar
dadah untuk pasaran tempatan dan mereka direman sehingga 28 Dis ini.
Thaiveegan
berkata sehari sebelum itu, pihak polis menyerbu sebuah rumah teres di
Simpang Ampat dan menahan seorang lelaki serta seorang wanita yang
masing-masing berusia 43 dan 55 tahun.
Beliau
berkata polis turut merampas 700 gram syabu yang telah siap diproses.
Pasangan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan memproses dadah sejak
empat bulan lepas di rumah sewa itu dan kedua-dua mereka didapati
positif syabu, katanya. Mereka direman sehingga 27 Dis ini.
Sumber : BERNAMA