Dua Lelaki Warga Iran Ditahan Bersama Dadah Bernilai Rm120 0
Kuala
Lumpur, 8 Mei - Polis menahan dua lelaki warga Iran serta merampas
dadah jenis syabu seberat satu kilogram bernilai RM120,000 di Jalan
Wangsa Delima bersebelahan Carrefour Wangsa Maju, Khamis lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak
berkata kedua-dua suspek berumur 40 dan 44 tahun, ditahan pukul 5.53 petang.
"Hasil
pemeriksaan ke atas kereta milik suspek, polis menjumpai sebungkus
plastik hitam mengandungi bahan kristal jernih disyaki syabu yang
diletakkan di bawah tempat duduk pemandu," katanya pada sidang media di
sini hari ini.
"Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang menunggu pelanggan bagi urusan jual beli dadah," katanya.
Lelaki
berusia 44 tahun itu seorang peniaga dan pernah mempunyai rekod jenayah
pada 2010, namun terlepas kerana ditangkap beramai-ramai dan tiada
bukti yang boleh mensabitkan kesalahan ke atasnya.
Wan
Abdullah berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, pihaknya
menangkap 50 warga asing kerana kesalahan dadah iaitu 26 dari Myanmar,
Iran (12), dua masing-masing dari Vietnam, Nigeria dan Indonesia serta
seorang masing-masing dari China, Filipina, Bangladesh, Singapura,
Madagascar dan Nepal.
"Kesemua
suspek menggunakan visa pekerja bagi memasuki negara ini dan disiasat
mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA