Sindiket Macau Scam Di Kuching Tumpas
Kuching,
9 Mei - Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan
China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan
perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai 'Macau Scam' di
sini hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing di dua buah rumah mewah di lokasi berasingan di bandar raya ini pagi ini.
"Di
premis pertama, polis berjaya menahan 55 warga Taiwan terdiri daripada
31 lelaki dan 24 perempuan, serta seorang lelaki warga tempatan,"
katanya kepada pemberita di sini. Katanya 29 orang lagi warga China
terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan ditahan di premis kedua yang
diserbu dalam operasi itu.
"Dalam
operasi tersebut polis berjaya merampas 113 unit telefon, 11 unit
komputer riba, dua unit komputer desktop, 11 peralatan bantuan internet
seperti modem dan router, 12 unit telefon bimbit dan lain-lain alatan
elektronik sokongan," katanya.
Acryl
Sani berkata hasil siasatan polis setakat ini mendapati anggota
sindiket ini beroperasi dengan menyamar sebagai anggota polis, sama ada
dari China atau Taiwan, dan memaklumkan kepada mangsa mereka yang akaun
bank mangsa sedang disiasat bank pusat masing-masing dan mungkin akan
dibekukan.
Katanya
setelah berjaya menakutkan mangsa mereka, seorang lagi anggota sindiket
ini akan menelefon mangsa dengan menyamar sebagai seorang pegawai bank
pusat yang berkenaan dan mempengaruhi mangsa untuk memindahkan wangnya
ke sebuah akaun sementara.
"Apabila
duit itu dipindahkan ke akaun sementara itu, sindiket itu akan
mengambil wang berkenaan," katanya. Katanya sindiket ini dipercayai
beroperasi di kedua-dua buah premis berkenaan sejak tiga bulan lepas
dengan menggunakan teknologi Voice Over Internet Protocol (VoIP) yang
membolehkan mereka membuat panggilan telefon dari sini ke China dan
Taiwan seolah-olah panggilan itu dibuat secara tempatan di negara
berkenaan.
Kesemua
anggota sindiket yang ditahan ini akan diekstradisi ke negara
masing-masing untuk menghadapi pendakwaan, katanya. - BERNAMA