Dua Lelaki Terlibat Dalam 12 Kes Pecah Rumah Ditahan
Johor
Bharu, 19 Jun - Polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah
yang dilakukan dua lelaki di sekitar Nusajaya di sini selepas menahan
mereka di sebuah rumah di Taman Nusa Idaman, semalam.
Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka
yang sedang memecah masuk rumah itu ditahan selepas polis menerima maklumat kejadian daripada jiran mangsa pada pukul 2.30 pagi.
"Polis
kemudian merampas pelbagai barangan termasuk televisyen, parang
panjang, empat tukul besi, spanar, kuku kambing, pemutar skru, sebungkus
plastik berisi 20 rangkai kunci, tujuh pasport, lima buku bank, telefon
bimbit serta kereta jenis Mitsubishi Triton daripada mereka," katanya
kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohd
Mokhtar berkata semakan rekod mendapati kedua-dua lelaki berumur 33
tahun itu mempunyai rekod jenayah termasuk menceroboh, curi dan
penyalahgunaan dadah. Beliau berkata mereka kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan.
Dalam
kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan seorang lelaki berumur
30 tahun kerana memiliki senjata api di Kulaijaya, dua hari lepas.
Beliau
berkata anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di
Jalan Tokong, Sengkang, terserempak dengan lelaki itu bersama rakannya
di dalam sebuah kereta, kira-kira pukul 7.10 malam.
"Polis
merampas sepucuk pistol semi auto, satu kelopak mengandungi 11 butir
peluru dan satu plastik lut sinar mengandungi tiga butir peluru daripada
lelaki itu. Semasa pemeriksaan dilakukan, rakan lelaki itu,
bagaimanapun, sempat melepaskan diri," katanya.
Menurut
Mohd Mokhtar semakan mendapati kereta itu merupakan kereta yang
dilaporkan hilang di Taman Pelangi, di sini dan lelaki tersebut yang
mempunyai rekod jenayah berkaitan rompak kini direman sehingga Isnin
depan.
Katanya
sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan Liew
Kwang Yen, yang memiliki kad pengenalan bernombor 770316-01-6019 dan
beralamat di B, 34, Sengkang, Kulaijaya, untuk membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA