Dua Lelaki Ditahan Menyamar Anggota Polis Untuk Menyamun
Petaling Jaya, 29 Jun - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing di Damansara Perdana, Khamis lepas, kerana menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun orang ramai.
Ketua
Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mereka yang
berumur lingkungan 20an itu ditahan pasukan peronda polis pada 4.45 pagi
setelah menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika
ditahan warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan
memakai pakaian seragam kadet polis sekolah," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan dan Ronda Berbasikal
anjuran Rukun Tetangga SS2B Petaling Jaya di sini.
Arjunaidi berkata motosikal yang ditunggangi mereka juga didapati dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Daripada
siasatan awal, polis mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah
namun mengaku ada menyamun beberapa mangsa semasa menyamar.
Mereka
kini ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan
Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam serta
Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, katanya.
Terdahulu
dalam ucapannya di majlis itu, beliau meminta setiap Kawasan Rukun
Tetangga (KRT) di Petaling Jaya mengaktifkan semula Skim Rondaan
Sukarela (SRS) bagi menurunkan indeks jenayah.
"Ada
beberapa kawasan kejiranan tidak memberikan kerjasama yang baik kepada
jiran-jiran sendiri sehinggakan tidak mampu untuk menubuh atau
mengaktifkan pasukan ronda.
"Justeru
itu, apabila berlaku jenayah kita tidak dapat membantu kerana perkara
pokoknya ialah tiada penduduk yang menjadi telinga dan mata kepada pihak
polis," katanya.
Sumber : BERNAMA