Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Lelaki Cuba Larikan Diri Rempuh Balai Polis Bergerak Di Butterworth

Published: 25 May 2015 11.58 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Butterworth, 25 Mei - Dua lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah rumah merempuh balai polis bergerak ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Raja Uda di sini malam tadi.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-lelaki-cuba-larikan-diri-rempuh-balai-polis-bergerak-di-butterworth
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 17:16 MYT


Butterworth, 25 Mei - Dua lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah rumah merempuh balai polis bergerak ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Raja Uda di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan seorang anggota polis yang berada dalam van berkenaan cedera ringan.

"Kedua-dua lelaki berumur 22 dan 28 tahun itu ditahan selepas polis mengejar mereka sehingga ke Jalan Lunas, Kulim di Kedah, kira-kira 30 kilometer dari balai polis bergerak itu," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim.

Beliau berkata kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki terbabit sebelum itu cuba ditahan sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di Jalan Raja Uda tetapi mereka enggan berhenti.

"Kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum pemandunya terus memecut laju ke arah Jalan Permatang Pauh. Polis mengejar mereka dan kenderaan polis mengepung laluan di Jalan Lunas, Kulim di Kedah sebelum berjaya menahan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata hasil pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki dua lelaki itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah, antaranya lima telefon bimbit, komputer riba, jam tangan berjenama, beg sandang dan dua unit pemain cakera padat.

"Polis turut menemui geran motosikal milik seorang lelaki, dompet, dua kad pengenalan milik orang lain dan wang tunai sebanyak RM868 serta pelbagai barangan untuk pecah rumah," katanya.

Beliau berkata ujian air kencing juga mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar SPU dan Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini sejak tahun lepas, katanya.

- BERNAMA

ArticlePublished 25 May 2015 11.58 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM