Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Ditahan Bersama Syabu Rm1 2 Juta

Published: 16 Jun 2014 4.25 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
JOHOR BAHRU 30 April - Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah masuk ke negeri ini...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-ditahan-bersama-syabu-rm1-2-juta
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 21:09 MYT

JOHOR BAHRU 30 April - Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah masuk ke negeri ini.

Ia berikutan tertangkapnya dua warga asing dari Asia Barat bersama dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai, dekat sini Rabu lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri pukul 4.30 petang.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan sejurus tiba di LTASI dari Kuala Lumpur setelah dikesan menyembunyikan syabu seberat 4.5 kilogram di dalam ruangan khas beg yang dibawa.

"Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan jaringan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan berdasarkan siasatan awal, salah seorang suspek didapati kerap ke Malaysia sejak 2009.

"Akibat daripada pemeriksaan ketat di pintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai mereka mengalihkan sasaran dengan menjadikan lapangan terbang di dalam negeri untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, buat masa ini, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Ketua JSJN Negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz untuk menyiasat perkara itu secara terperinci.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung kes penangkapan kedua-dua suspek bersama dadah tersebut.

"Cukup sekadar ini sahaja. Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan," katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

ArticlePublished 16 Jun 2014 4.25 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM