Dua Beradik Ditahan Edar Dadah Dan Pil Khayal
Kuala Lumpur -
1 Jun 2009. Polis menahan lima pengedar dadah termasuk dua adik-beradik
dan merampas lebih 1,400 biji pil ekstasi bernilai RM57,000 dalam dua
serbuan berasingan di sekitar ibu negara minggu lalu.
Serbuan
pertama dilakukan pada Rabu lalu dan berjaya menahan dua beradik di
luar pekarangan pusat beli-belah Berjaya Times Square.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek pertama, polis menemui sebanyak 452 biji pil ekstasi.
Namun, kata beliau, polis terpaksa mengejar abang suspek yang cuba melarikan diri dengan menaiki bas setelah menyedari adiknya ditangkap. Bagaimanapun, polis menahannya sebaik bas tersebut mahu meneruskan perjalanan meninggalkan pusat beli-belah itu.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek tersebut, kita merampas pula dadah jenis ketamin seberat 2.2 gram. Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam satu lagi kejadian, polis menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan merampas sebanyak 320 biji pil ekstasi. Hasil ujian air kencing, kedua-dua suspek positif penggunaan dadah jenis ekstasi dan ketamin.
"Susulan daripada itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 51 tahun di sekitar Taman Miharja yang dipercayai pembekal dadah kepada dua suspek itu. Polis turut menemui 641 biji pil ekstasi yang disembunyikan di bawah kerusi penumpang dalam kereta suspek," ujarnya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 28 hingga 55 tahun itu turut ditahan reman sehingga esok di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Chez Chiang berkata, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hanya tiga suspek yang positif penggunaan dadah.