Dua Anggota Geng 36 Terbunuh Berbalas Tembak Dengan Polis
Melaka,
12 Sept - Dua lelaki dipercayai anggota kongsi gelap Geng 36 terbunuh
selepas berbalas tembak dengan polis di persimpangan Lebuhraya SPA-AMJ,
berdekatan pasar raya Tesco Melaka Cheng di sini hari ini.
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian pukul 9.20
pagi itu, sepasukan polis dari Bukit Aman dan Melaka mengesan kedua-dua
suspek termasuk yang dikenali 'Teratai Boy', menaiki kereta Perodua
Myvi.
Apabila
diarah berhenti oleh polis, suspek melepaskan tembakan ke arah polis
menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri
dan akhirnya polis berjaya menumpaskan suspek yang berusia 25 dan 35
tahun itu, katanya kepada pemberita, di sini.
Menurut
Khalid, kejadian itu juga membantu polis menyelesaikan tujuh kes bunuh,
satu kes cubaan bunuh dan dua kes samun yang membabitkan seorang
daripada suspek.
Lelaki
ini memang dikehendaki dan polis pernah meminta bantuan orang ramai
untuk mengesannya pada hujung bulan lepas bagi membantu siasatan,
katanya.
Beliau berkata seorang lagi suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.
Mengulas
kejadian berbalas tembak itu, Khalid berkata suspek melepaskan lima
tembakan ke arah polis dengan ada yang mengenai kereta pasukan
keselamatan.
Katanya
pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan dua pucuk pistol
automatik serta dadah jenis ganja selain lencana Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan lencana integriti yang dipakai anggota PDRM pada badan
suspek.
Polis
kini menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada kedua-dua
suspek ialah pembunuh upahan dan menyamar sebagai anggota polis,
katanya.
Menurut
Khalid, susulan kejadian itu polis menyerbu sebuah rumah milik seorang
suspek dan menahan seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 34
dan 35 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas sebuah kereta mewah serta peralatan pecah rumah dari rumah itu.
Sambil
berterima kasih kepada orang awam yang membantu polis sehingga
tumpasnya dua suspek tersebut, Khalid berjanji PDRM akan meneruskan Ops
Cantas untuk mengesan penjenayah di negara ini.
Katanya Ops Cantas juga akan diperluas secara besar-besaran ke Sabah dan Sarawak.
Sumber : BERNAMA