Cuba Serang Polis Lelaki Amerika Latin Cedera Ditembak
Seremban,
12 Sept - Seorang lelaki Amerika Latin cedera ditembak selepas cuba
menyerang anggota polis dalam kejadian di Jalan Taman Permai, di sini
hari ini.
Ketua
Polis Daerah Seremban ACP Zainal Abu Bakar berkata kejadian berlaku
pukul 12 tengah hari ketika lelaki berusia 30-an itu dan tiga rakannya
dikejar anggota polis selepas mereka cuba mengelak pemeriksaan pasukan
keselamatan berkenaan.
Kira-kira
40 minit sebelum kejadian, suspek dan tiga rakannya termasuk seorang
wanita dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah
kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan perumahan di Rasah Kemayan.
"Anggota
polis yang menaiki kereta peronda menghampiri MPV itu untuk membuat
pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju menuju ke arah bandar
Seremban, memaksa pihak polis mengejar mereka sehingga ke Jalan Taman
Permai," katanya ketika dihubungi.
Menurut
Zainal kenderaan suspek yang memasuki laluan bertentangan kemudian
terbabas ke tepi jalan dan semua suspek keluar dari MPV itu serta cuba
melarikan diri ke arah kawasan pembinaan berhampiran.
Bagaimanapun
seorang daripada mereka berpatah balik dan cuba menyerang anggota polis
yang mengejar, menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan satu
das tembakan yang mengenai pinggang suspek.
"Lelaki
itu yang cedera cuba melarikan diri namun polis berjaya menahannya
bersama rakan wanitanya sementara dua lagi rakan lelaki mereka berjaya
melarikan diri," katanya.
Katanya lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil.
Polis
sedang mengenal pasti identiti semua suspek dan punca sebenar mereka
melarikan diri daripada pemeriksaan serta menyiasat sama ada mereka
pernah terbabit dalam kes jenayah, katanya.
Sumber : BERNAMA