Dewan Rakyat Lulus Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran
Kuala Lumpur, 16 Jun- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 tanpa sebarang pindaan.
Walaupun berdepan pelbagai asakan soalan, khususnya susulan insiden pencerobohan sempadan perairan negara, termasuk isu penculikan bersenjata di Sabah dan kemasukan pelarian Rohingya dan Bangladesh, rang undang-undang itu tidak menghadapi kesukaran untuk mendapat undi anggota Parlimen.
Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata pihaknya akan memperkuatkan semula unit risikan bagi mencegah sebarang aktiviti jenayah serta pencerobohan di sempadan Malaysia.
Beliau berkata Malaysia sebelum ini merupakan antara negara yang mempunyai unit risikan terbaik sekitar tahun 60-an dan 70-an.
"Tetapi apabila ancaman komunis reda pada 1989, kita menghentikan risikan ini. Banyak kemudahan-kemudahan yang patut ada pada pihak cawangan khas itu dah dipotong oleh pihak kerajaan berlandaskan tiada keperluan untuk mempunyai unit risikan super lagi pada ketika itu," katanya.
Wan Junaidi berkata usaha memperkuat semula unit risikan penting kerana negara kini berdepan pelbagai ancaman yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian negara.
"Zaman dahulu (risikan) ialah mengendali elemen subversif tetapi sekarang lebih banyak lagi cabaran yang kita hadapi bukan sahaja dalam sudut subversif malah keganasan, gangsterisme dan komersial juga kerana tiap-tiap tindakan negara yang mendatangkan kebaikan boleh disabotaj oleh pihak tertentu," katanya.
Katanya beliau juga telah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan satu unit risikan khusus bagi menjaga keselamatan sempadan negara daripada diceroboh pihak tertentu termasuk aktiviti pemerdagangan manusia.- BERNAMA