Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Dadah Bernilai Rm1 53 Juta Dirampas Dua Wanita Tempatan Ant

Diterbitkan: 16 Jun 2014 9.02 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis menahan enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan dalam beberapa serbuan dadah sejak Jumaat lepas serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.53 juta..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dadah-bernilai-rm1-53-juta-dirampas-dua-wanita-tempatan-ant
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:44 MYT

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2012 (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan dalam beberapa serbuan dadah sejak Jumaat lepas serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.53 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim berkata suspek berumur 26 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara, Puchong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Dalam sidang media di sini Khamis, Mohd Noor Rashid berkata dalam serbuan pertama pada Jumaat lepas, dua lelaki Nigeria dan dua wanita tempatan, seorang daripadanya dipercayai menjadi agen untuk merekrut wanita tempatan sebagai keldai dadah, ditahan ketika mereka dalam perjalanan ke KL Sentral.

"Polis yang berjaya memintas kenderaan mereka kemudiannya menjumpai 30 bungkusan plastik berisi dadah kokain seberat 1.2 kg yang disembunyikan dalam ruangan khas di but kereta, tapak serta batang penarik plastik pada kedua-dua beg troli yang dijumpai di dalam but kereta itu," katanya.

Mohd Noor Rashid berkata selang dua hari kemudian, polis menyerbu sebuah rumah kedai di Ampang dan Puchong sebelum menemui 33 paket plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 40.2 kg di dalam beberapa set gelas di rumah tersebut.

"Tiga lelaki Pakistan yang dipercayai mahu menyeludup keluar set gelas berisi heroin tersebut, ditahan polis," katanya.

Mohd Noor Rashid berkata dalam kes terakhir, seorang lelaki warga Guinea yang cuba menyembunyikan dadah dengan menelan beberapa ketulan dadah untuk diseludup masuk ke negara ini, ditahan di KLIA.

Beliau berkata lelaki tersebut ditahan Isnin lepas dan pemeriksaan X-Ray oleh pihak hospital mendapati terdapat ketulan-ketulan di dalam perut suspek yang disyaki dadah.



"Sehingga kini, sebanyak 57 ketulan dadah disyaki syabu seberat 971 gram telah berjaya dikeluarkan dari perut suspek," katanya.

Mohd Noor Rashid berkata kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 9.02 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM