Dadah Bernilai Lebih Rm4 000 Dirampas Sepasang Kekasih Dita
KUALA
LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Sepasang kekasih ditahan dan polis
merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4,730 dalam serbuan di sebuah
rumah di Salak South Garden, di sini Isnin lepas.
Ketua
Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata
lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 22 tahun itu ditahan pada
pukul 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota cawangan Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah Brickfileds.
"Polis
menemui satu bungkusan plastik yang mengandungi 53 biji pil ecstasy
pelbagai warna dengan harga pasaran RM1,570, satu bungkusan serbuk putih
dipercayai dadah jenis katamine bernilai RM100.
"Turut
ditemui dalam rumah itu ialah satu paket plastik mengandungi pil eramin
5 berharga RM160 dan 24 gulungan yang mengandungi 240 biji pil eramin 5
yang bernilai RM2,880," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.
Wan
Abdul Bari berkata lelaki yang ditahan itu merupakan penjual ubat herba
Cina dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala teman wanitanya
pula penuntut universiti.
Beliau berkata ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki terbabit mendapati dia positif dadah.
Sementara
itu, abang lelaki terbabit yang berumur 25 tahun ditahan kerana cuba
menawarkan rasuah kepada polis bagi membebaskan adiknya.
"Lelaki
itu telah datang ke balai polis pada pukul 1.30 tengah hari dan cuba
menawarkan RM10,000 kepada anggota pasukan Narkotik agar adiknya
dibebaskan," katanya.
Beliau berkata lelaki kemudian diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.