| SHAH
ALAM 23 April 2010 - Taktik menyorok dadah di dalam batang paip
polivinil klorida (PVC) semakin menjadi-jadi meskipun pernah dibongkar
pihak berkuasa. Terbaru, sebanyak 35 batang
PVC berisi 31 kilogram serbuk dadah jenis ketamin bernilai RM35,000 yang
dipercayai bakal diekspot ke luar negara dirampas dalam serbuan di
sebuah rumah kedai di Bukit Puchong, Subang Jaya, kelmarin. Turut dirampas dalam serbuan
kira-kira pukul 4 petang itu adalah tujuh bungkusan plastik mengandungi
dadah jenis heroin seberat 0.43 kilogram bernilai RM15,000. Kesemua dadah tersebut
ditemui susulan penahanan tujuh lelaki tempatan dan seorang warga asing
dalam serbuan yang bermula 14 April lalu hingga semalam. Timbalan Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintenden Abdul Razak Md. Zin
berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, pihaknya percaya
berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah di kawasan
Lembah Klang. Beliau berkata, taktik
menyorokkan ketamin di dalam batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter x
23 milimeter itu merupakan antara taktik terbaru penjenayah untuk
mengaburi mata pihak berkuasa. "Bagaimanapun kita berjaya
mengesan kegiatan sindiket ini yang dipercayai telah berjalan sejak tiga
bulan lalu hasil risikan dan maklumat orang awam. Siasatan juga percaya
sindiket tempatan ini mempunyai kaitan dengan satu sindiket dadah
antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tambah beliau, kesemua
suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu kini direman untuk
siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujar beliau, pihaknya turut
menyita dua buah kereta milik anggota sindiket terbabit serta dua buah
kereta Nissan Fair Lady dan Proton Putra bernilai RM156,000 dalam
serbuan. |