Campus Policing Upm Julung Kali Di Malaysia
UPM Serdang, 09 April 2011 - YDH Superintendan Abd. Razak bin Elias, Ketua Polis Daerah Serdang hari ini telah merasmikan satu program yang julung kalinya diperkenalkan di Malaysia iaitu Program 'Campus Policing' atau Kepolisan Kampus. Program ini sama dengan 'commmunity policing' yang kian hangat menemui masyarakat pada hari ini tetapi ia memfokuskan kepada komuniti di Institusi Pengajian Tinggi dan ini sejajar dengan Konsep 4P yang diperkenalkan oleh YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Hj. Ismail bin Hj. Omar.
"Saya dengan izin ingin membahasakan diri sebagai pak cik dan anda semua sebagai anak-anak saya", Jelas beliau dengan mesra sekali semasa ucapan perasmian yang berlangsung di Kompleks Mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Serdang pagi tadi. Tambah beliau lagi, 'Campus Policing' adalah satu inisiatif untuk mewujudkan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta supaya berada dalam keadaan selamat serta mewujudkan suasana yang aman dan pembelajaran yang kondusif. Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan moto 'Berilmu Berbakti' (With Knowledge We Serve), manakala PDRM pula 'Bersedia Berkhidmat' ditambah dengan konsep 4P dan falsafah community policing, gabungan PDRM dan UPM dapat digembleng bersama agar UPM benar-benar selamat bagi seluruh warga siswa/siswi serta kakitangan dalam UPM.
Semasa menjawab soalan dari wakil media yang hadir, YDH Superintendan Abd. Razak memberitahu sebanyak 14 kes jenayah yang berlaku di kawasan UPM Serdang telah direkodkan dari bulan Januari hingga 4 April 2011. Antaranya ialah curi m/sikal (6 kes), pecah asrama (2 kes), lain-lain kecurian (2 kes), ugutan jenayah (2 kes), khianat (1 kes), dan berkelakuan lucah di tempat awam (1 kes). Beliau yang dilihat begitu optimis serta komited akan berusaha untuk menjadikan UPM Serdang sebagai kawasan sifar jenayah. Program 'Campus Policing' ini akan dikembangkan lagi ke IPTA/IPTS lain di kawasan Serdang pada waktu terdekat menurutnya lagi.
"'Campus Policing sememangnya dialu-alukan oleh warga UPM khususnya para pelajar kerana ia akan menjadikan kawasan kampus selamat untuk didiami dan pelajar bebas ke mana-mana tanpa rasa takut", Jelas seorang mahasiswa dari Fakulti Pertanian semasa ditemubual. Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana warga PDRM di IPD Serdang khususnya YDH Superintendan Abd. Razak selaku KPD adalah seorang yang peramah dan mudah untuk didekati bagi mendegar serta berkongsi masalah.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Komandan Kor Suksis UPM Superintendan/KS Dr. Abdul Razak bin Abdul Rahman, Pegawai-pegawai Kanan Kor Suksis, Pegawai-pegawai Kanan IPD Serdang, Pegawai-pegawai UPM, Anggota Kor Suksis dan PALAPES serta wakil media. Para pengunjung berpeluang menyaksikan berbagai pameran seperti senjata api, trafik, Unit Berkuda, narkotik dan juga helikopter PDRM.
Gambar-gambar di sekitar majlis.
Wartawan : L/Kpl Syamsul Baharin Mohamed
Gambar : L/Kpl Khaidzir Mahmad