Bersatu Untuk Pastikan Kedaulatan Tanah Air Akan Tetap Terpelihara Dari Niat Jahat Musuh Negara
"Kepada segenap lapisan Penjawat Awam, khususnya kepada anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan anggota Tentera, janganlah sekali-kali leka dan alpa dalam menjunjung warisan etos kepahlawanan yang cemerlang ini. Lipatan sejarah perlu dijadikan sebagai suntikan semangat, bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan pengorbanan dalam melaksanakan amanah demi untuk kesejahteraan negara tercinta ini." - SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Kuala Lumpur , 31 Julai - "Beta berharap seluruh rakyat agar bersatu-padu untuk memastikan kedaulatan tanah air tercinta akan tetap terpelihara dari niat jahat musuh-musuh negara, yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa," titah Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2011 di Dataran Merdeka, hari ini.
Baginda bertitah, sebagai negara yang berbilang kaum, kepercayaan dan budaya rakyat Malaysia perlu mempertingkatkan hubungan baik yang sedia wujud sesama mereka dan harus melakukan transformasi paradigma dari sikap hanya toleransi terhadap kepelbagaian, kepada sikap menerima keseluruhannya kepelbagaian dan menjadikannya sebagai mangkin kekuatan sepertimana yang diinspirasikan melalui konsep 1Malaysia.
"Bagi para pahlawan yang masih berkhidmat, Beta berharap teruskanlah khidmat bakti yang murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat kepada saudara saudari sekalian cukup tinggi. Sebagai perisai dan pedang negara jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat sumpah ikrar saudara dan saudari sekalian." Akhiri Baginda dalam titahnya.
Kolaborasi Mantapkan Masa Depan Dan Kesejahteraan Negara
Bermula seawal 7 pagi, Istiadat Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2011 ini telah meyerlah akan kemeriahannya. Sungguh bertuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi 'Tuan Rumah' bagi acara tahun ini. Kali pertama Istiadat Sambutan Hari Pahlawan diadakah di Dataran Merdeka adalah pada tahun 2010, di mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan 'Tuan Rumah'. Istiadat Sambutan Hari Pahlawan yang diadakan di Tugu Peringatan Negara sebelum ini, telah dibawa ke Dataran Merdeka untuk diraikan bersama orang ramai yang sama-sama ingin menyemarakkan semangat kepahlawanan terbilang.
Persembahan demi persembahan daripada Barisan Kawalan Kehormatan Utama, deklamasi Sajak Pahlawan, pementasan "Pengisahan Sejarah Pejuang-Pejuang Negara", hinggalah kemuncak persembahan menyaksikan laungan 'Daulat Tuanku' oleh Ketua Perbarisan, semuanya telah memaparkan keutuhan kerjasama yang padu di antara PDRM dengan ATM. Sebagai salah satu tanda kekuatan pasukan keselamatan serta menyahut seruan transformasi kerajaan dalam menambahbaik persepsi dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
Turut hadir pada hari ini, YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan, YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara, Y.Bhg Jen. Tan Sri Zulkifeli bin Mohd. Zin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Pegawai-pegawai Kanan PDRM & ATM, Dif-dif Kenamaan dan tetamu-tetamu jemputan.

Ketibaan YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.




Ketibaan YAB Dato' Sri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.









Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan majlis.
Wartawan : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor