Berjaya Merampas Rm 38 77 Juta Di Awal Tahun 2011 Momentum Kepada Kejayaan Jsjn
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim pada pagi ini telah mengadakan sidang media bagi memberikan informasi terkini berkenaan dengan kejayaan pihaknya dalam melumpuhkan beberapa kes di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Perak yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 38.77 juta. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya di mana nilai rampasan hanya berjumlah RM 5.89 juta (2009) dan RM 8.7 juta (2010).
Januari 2011 telah menunjukkan peningkatan dari segi jumlah tangkapan dalam pelbagai kesalahan jenayah narkotik, iaitu sebanyak 58 peratus (14,652 orang) berbanding 9,263 orang pada Januari 2009. Sejumlah 4 makmal haram memproses dadah juga telah berjaya dibongkar masing-masing 2 di Kuala Lumpur dan selebihnya di Pulai Pinang dan Perak. Sejumlah 8 tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut.
Ekoran daripada itu seramai 103 orang telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas/LLPK) 1985 bagi Januari 2011 berbanding 121 orang (2009) dan 142 orang (2010).
Berkenaan dengan penyitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang telah dibuat oleh JSJN pula, lebih kurang RM 3 juta harta telah disita pada awal tahun 2011. Ops Ramelia yang melibatkan sindiket pengedaran dadah melibatkan warganegara Iran telah menyumbangkan nilai sitaan bernilai RM 3.29 juta dan seterusnya menjadikan nilai sitaan tertinggi sehingga ke hari ini dalam tahun 2011.
Kejayaan ini menurut Datuk Noor Rashid adalah hasil daripada kegigihan pegawai JSJN selain dari maklumat dan kerjasama media serta orang awam melalui program Kepolisan Masyarakat (Community Polising).

YDH CP Datuk Noor Rashid berucap semasa sidang media

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah narkotik dan Pegawai Perhubungan Awam PDRM yang turut hadir

Antara wakil-wakil media yang hadir membuat liputan
Wartawan : L/Kpl Syamsul Baharin Mohamed
Foto : L/Kpl Khaidzir Hj.Mahmad
Penyunting : Sjn Zaiddin Dahalan