
Artikel
Beret Maroon Utk Bakal Terima Kompleks Latihan Baharu
Semenyih, 10 Januari 2022 - Pasukan Unit Tindakhas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima pejabat dan pusat latihan baharu yang akan dibangunkan di...
Semenyih, 10 Januari 2022 - Pasukan Unit Tindakhas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima pejabat dan pusat latihan baharu yang akan dibangunkan di kawasan Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, Semenyih, Selangor.
Upacara pecah tanah yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin pagi tadi, merupakan simbolik kepada permulaan projek pembinaan pejabat dan Pusat Latihan UTK yang baharu.
Berucap dalam majlis yang diadakan, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani berkata, pembinaan kompleks UTK ini bertujuan meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan operatif UTK dalam apa jua keadaan dan ancaman, selain melahirkan anggota yang berkemahiran tinggi dalam penugasan masing-masing.
"Projek pembinaan kompleks baharu UTK ini, jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan Pasukan, dalam menyediakan prasarana yang kondusif khususnya buat pasukan elit pemakai 'beret maroon' ini," katanya.
Kompleks UTK yang dijangka siap pada 18 Mei 2024 kelak akan dilengkapi dengan pusat latihan untuk para operatif UTK termasuklah bilik keselamatan VVIP berteknologi canggih yang terkini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Tuan Sr. Amran Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dato' Mohd Sayuthi Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman dan barisan pengarah PDRM.