Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Belum Ada Keperluan Perluas Kawasan Perintah Berkurung Di Esszone

Diterbitkan: 19 May 2015 12.32 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Tawau, 18 Mei - Belum ada keperluan untuk memperluaskan arahan perintah berkurung sehingga ke kawasan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kata Pesuruhjaya Polis Sabah Dato' Jalaluddin Abdul Rahman.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/belum-ada-keperluan-perluas-kawasan-perintah-berkurung-di-esszone
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:28 MYT


Tawau, 18 Mei - Belum ada keperluan untuk memperluaskan arahan perintah berkurung sehingga ke kawasan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kata Pesuruhjaya Polis Sabah Dato' Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata perintah berkurung sedia ada masih relevan dan tidak perlu dikaji semula memandangkan keadaan di Esszone pada masa kini masih terkawal dan tidak kritikal.

"Keadaan sekarang belum lagi di tahap kritikal, modus operandi kejadian penculikan di sebuah restoran di Sandakan baru-baru ini menyasarkan seseorang. Mereka (penculik) mahu orang tertentu sahaja. Jadi ini menunjukkan insiden itu sudah dirancang dari awal dengan adanya penglibatan pemberi maklumat.

"Oleh itu, setakat ini tiada keperluan untuk memperluas arahan perintah berkurung itu," katanya kepada pemberita selepas Program Pencegahan Jenayah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada arahan perintah berkurung sedia ada perlu dikaji dan diperluas berikutan kes penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan pada Khamis lepas.

Dalam kejadian itu, empat lelaki bersenjata menyerbu restoran berkenaan dan menculik Thien Nyuk Fun, 50, iaitu kakak ipar pengurus restoran itu dan Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrik di Kemboja.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di Esszone itu, melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan, bermula 7 malam hingga 5 pagi.

Semalam, arahan perintah berkurung itu dilanjutkan bermula hari ini sehingga 2 Jun depan.

Sementara itu, Jalaluddin sekali lagi meminta orang ramai dan pemimpin masyarakat di kawasan Esszone terus memberi kerjasama kepada polis.

"Kita mahu semua masyarakat termasuk pemimpin bekerjasama menyalurkan maklumat kepada polis. Jangan sesekali melindungi atau bersekongkol dengan penjenayah," katanya.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 May 2015 12.32 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM