Bayi Dikerat 15 Bahagian Ditemui Di Loji Kumbahan
Johor Bahru, 18 Mei - Mayat bayi yang baru lahir ditemui dikerat kira-kira 15 bahagian dalam loji kumbahan di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata mayat bayi itu disedari oleh beberapa pekerja ketika mereka membersihkan loji itu kira-kira pukul 10.30 pagi.
Beliau berkata penyelia syarikat kontraktor pembersihan tersebut kemudiannya menghubungi pihak polis.
"Para pekerja tersebut menemui anggota-anggota badan bayi itu tersangkut pada perangkap sampah. Mereka kemudiannya mengumpul dan membersih anggota badan berkenaan dan mendapati ia merupakan anggota badan seorang bayi.
"Dipercayai pihak yang melakukan perbuatan itu cuba menghapuskan bukti dengan mengepam (ke dalam tandas) anggota-anggota badan yang dipotong itu. Namun bahagian kepala bayi itu tidak dijumpai," katanya.
Mohd Khamsani berkata pihak polis masih mencari bahagian kepala bayi berkenaan dan anggota badannya yang lain.
"Pihak kami dalam proses mencari anggota yang belum dijumpai termasuk mengesan tandas yang tersumbat (di PPR itu). Ada kemungkinan bahagian badan boleh ditemui di situ," katanya.
Beliau berkata siasatan akan dijalankan di klinik berhampiran dan sekitar PPR tersebut yang terdiri daripada empat blok 17 tingkat yang didiami kira-kira 6,000 penghuni.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sangat kejam dan di luar kewarasan kemanusiaan.
- BERNAMA