Bekas Tahanan Eo Ditahan Dalam Sekatan Jalan Raya Di Kepong
Kuala
Lumpur, 30 Julai - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang
mempunyai 20 rekod jenayah, ditahan dalam sekatan jalan raya oleh polis
di Kepong di sini awal hari ini.
Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki berusia 35 tahun
yang memandu kereta jenis Toyota Vios itu ditahan dalam sekatan jalan
raya pada 2.15 pagi dan diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri.
"Suspek
yang berasal dari Kedah itu tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan ke
arah anggota polis, namun sasarannya terlepas," katanya pada sidang
akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau
berkata lelaki itu kemudian keluar dari kereta untuk melarikan diri
menyebabkan polis melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
"Suspek
cedera di kaki kiri, perut dan bahu dan dihantar ke Hospital Selayang
untuk menerima rawatan. Dia meninggal dunia di hospital pada 2.30 petang
ini," katanya.
Polis
turut merampas sepucuk pistol MK semi-auto, enam topeng muka dan
sebatang besi dipercayai digunakan untuk aktiviti samun, yang ditemui
dalam kereta itu.
"Kereta Toyota Vios itu dilapor hilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.
Sumber : BERNAMA