Artikel
Artikel Pilihan Pga Rampas Rokok Tidak Bercukai Benilai Rm875 000
Kuala Selangor, 13 Disember 2020 - Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di...
Kuala Selangor, 13 Disember 2020 - Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Selangor selepas merampas 4,900 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM875,000, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, rokok yang dirampas itu disembunyikan di belakang sebuah lori dan kereta di sebuah bangunan di kawasan Jalan Kilang Padi, Tanjung Karang, dekat sini.
Superintendan Rizal berkata, rampasan sekitar 3.30 petang itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun di sebuah bangunan di kawasan itu.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan juga berjumlah lebih kurang RM942,460,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Superintendan Rizal berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
Beliau juga meminta orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.
Sumber:
BERNAMA
