Artikel
Artikel Pilihan Jumlah Penagih Dadah Turun 10 5 Peratus Usaha Bersasar Di Sempadan Mdn
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php...
Kuala Lumpur, 13 Mei 2025 - Trend penagihan dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara merekodkan penurunan ketara pada suku pertama tahun ini, selepas berlaku peningkatan tiga tahun berturut-turut.
Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata trend itu, menyaksikan penurunan 10.5 peratus kepada 108,409 penagih dan mereka yang menyalahgunakan dadah atau bahan sehingga Mac lepas, berbanding 121,170 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata daripada sejumlah 108,409 individu, sebanyak 40 peratus merupakan kes berulang, manakala 60 peratus kes baharu.
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata daripada jumlah itu, Terengganu mencatatkan rekod tertinggi bagi kadar penagih dan mereka yang menyalahgunakan dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu 663 orang diikuti Perlis dengan 609 orang dan Kelantan 597 orang.
“Yang menyumbang kepada penurunan suku pertama itu ialah kejayaan kita menutup pangkalan haram dan laluan tikus di Kelantan, yang merupakan penyumbang utama kepada kemasukan bekalan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
