Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Kpn Adakan Lawatan Kerja Ke Kontinjen Sabah

Diterbitkan: 13 May 2025 12.37 PM Dikemas kini: 15 Aug 2026 8.01 PM
Kota Kinabalu, 13 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kontinjen Sabah dengan mengunjungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pagi tadi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/kpn-adakan-lawatan-kerja-ke-kontinjen-sabah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 18:48 MYT
Kota Kinabalu, 13 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin Husain telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kontinjen Sabah dengan mengunjungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pagi tadi.

Ketibaan Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin telah disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah (PJP), CP Datuk Jauteh Dikun, sebelum dibawa untuk melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota dari Batalion 16 Pasukan Gerakan Am Sabah, yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Salihan Lem Matin.

Dalam lawatan tersebut, Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin telah menyampaikan amanat kepada warga kerja Kontinjen Sabah dalam satu perhimpunan ringkas yang diadakan di auditorium IPK Sabah.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Razarudin , beliau telah menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti warga Polis Kontinjen Sabah di samping kehadiran beliau ke negeri tersebut juga adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia.

“Saya percaya, pelbagai perancangan ke arah memperkasa tahap keselamatan di negeri Sabah telah dan sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan strategik Datuk PJP Sabah serta warga kerjanya yang progresif.”

“Atas kejituan tekad dan iltizam seluruh warganya, bagi tempoh Januari hingga April 2025, Jenayah Indeks telah mencatatkan penurunan kepada 1,254 kes berbanding 1,534 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2024. Tahniah dan syabas saya ucapkan.”, ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan warga kerja Kontinjen Sabah supaya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan sentiasa berdiri teguh serta ampuh dengan ikrar taat setia kepada Pasukan yang bernaung di bawah panji ‘Sang Saka Biru’ dalam menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir dalam lawatan yang diadakan ialah ialah Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (WCB/PSK) Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Hj. Sadari, Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am, SAC Datuk Abdul Rani Alias dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.

Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin

ArtikelDiterbitkan 13 May 2025 12.37 PMDikemas kini 15 Aug 2026 8.01 PM