Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Al Fatihah Anggota Polis Maut Dilanggar Motosikal Sewaktu Kejar Penjenayah

Diterbitkan: 08 Jan 2021 1.37 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.35 AM
Sungai Petani, 8 Januari 2021 - Seorang anggota polis maut selepas dilanggar sebuah motosikal semasa sedang mengejar seorang suspek kes pecah rumah di Padang Temusu dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/al-fatihah-anggota-polis-maut-dilanggar-motosikal-sewaktu-kejar-penjenayah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:43 MYT

Sungai Petani, 8 Januari 2021 - Seorang anggota polis maut selepas dilanggar sebuah motosikal semasa sedang mengejar seorang suspek kes pecah rumah di Padang Temusu dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Tuan Adzli Abu Shah berkata Koperal K.Mahadir Elis, 38, dari Balai Polis Sungai Petani yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata sebelum kejadian, pada 3.45 pagi Allahyarham K.Mahadir bersama anggota lain telah bergerak ke Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Pasir dan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan suspek kes pecah rumah, berusia antara 32 dan 50 tahun.

"Susulan penangkapan itu, Allahyarham dan anggota (rakan setugas) membuat serbuan ke atas rumah seorang lagi suspek yang masih bebas di Padang Temusu.

“Suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan Allahyarham kemudiannya mengejar suspek ke arah jalan utama kira-kira 500 meter sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 sewaktu melintasi jalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Allahyarham yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sejak tiga tahun lepas, meninggalkan seorang isteri, Azlila Talib, 39, dan tiga orang anak berusia lima, lapan dan 17 tahun.

"Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Rashid, Sungai Dua di Butterworth," kata ACP Tuan Adzli.

Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Koperal K.Mahadir Elis. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1919841

Sumber: Polis Kedah dan BERNAMA


Image may contain: 1 person, closeup
ArtikelDiterbitkan 08 Jan 2021 1.37 PMDikemas kini 17 Jul 2026 3.35 AM