Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Abd Rashid Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu Berkuat Kuasa Hari Ini

Diterbitkan: 04 Jan 2016 11.49 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kota Kinabalu, 4 Jan- Bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Dato' Abd Rashid Harun dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu berkuat kuasa hari ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/abd-rashid-pesuruhjaya-polis-sabah-baharu-berkuat-kuasa-hari-ini
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:03 MYT

Kota Kinabalu, 4 Jan- Bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Dato' Abd Rashid Harun dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Dato' Jalaluddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Dato' Jalaluddin dan Dato' Abdul Rashid dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah.

Abd Rashid dalam ucapannya selepas majlis menandatangani nota serah/terima tugas itu berjanji mengekalkan legasi kepimpinan cemerlang Jalaluddin selama tempoh perkhidmatan satu tahun enam bulan menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.

"Tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah sangat mencabar, namun saya harap dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik.

"Oleh itu saya memerlukan kerjasama daripada semua semua pegawai kanan dan anggota IPK Sabah demi memantapkan segala operasi dirancang," katanya.

Dato' Abd Rashid berkata beliau akan meneruskan segala perancangan termasuk perancangan operasi yang dilaksanakankan Jalaluddin bagi memantapkan IPK Sabah.

"Saya akan memberikan kerjasama erat dengan pihak ESSCom, bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan perintah berkurung, Dato' Abd Rashid berkata arahan itu masih diperlukan dan akan diteruskan mengikut keperluan semasa.

"Kami dapati mereka (masyarakat di ESSZone) sangat mengalu-alukan perintah berkurung. Melalui perintah berkurung, keyakinan terhadap keselamatan di ESSZone dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, Dato' Jalaluddin yakin Dato' Abd Rashid mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

"Dato' Abd Rashid mempunyai pengalaman luas bersama PDRM dan saya percaya beliau berupaya membantu polis kontinjen Sabah untuk terus cemerlang dengan kerjasama semua pegawai dan anggota IPK Sabah khususnya Ketua Polis Daerah," katanya.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Jan 2016 11.49 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM