75 Rakyat Sri Langka Ditahan
PULAU PINANG 25 April 2010 - Seramai 75 pelarian warganegara Sri Lanka yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Tanjung Piandang, Kerian, Perak dua hari lepas.
Mereka terdiri daripada 61 lelaki, enam wanita dan enam kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara 5 hingga 60 tahun, ditahan kira-kira pukul 3 pagi oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga iaitu Australia.
"Difahamkan pendatang asing tanpa izin ini melarikan diri daripada negara mereka dan mahu menyeludup masuk ke negara ketiga iaitu Australia.
"Antara tuntutan mereka ialah jaminan bahawa mereka boleh pergi ke mana-mana negara dengan selamat serta diterima oleh negara yang ingin mereka pergi dan mereka meminta untuk dihantar ke Australia,” kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub bin Haji Yaakob.
Beliau berkata, bot yang mereka naiki didapati mengalami kerosakan.
"Mereka kemudiannya dibawa ke Pangkalan Jeti Marin Batu Uban di sini pada pukul 6.40 petang. Namun pada mulanya mereka enggan turun daripada bot apabila sampai di jeti dan mereka turut mengugut untuk terjun ke laut sekiranya dipaksa berbuat demikian,” katanya.
Pihak polis terpaksa
mendapatkan bantuan Suruhanjaya Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia
(UNHCR) untuk membuat rundingan dengan pelarian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara asing tanpa dokumen yang sah.