Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

6 Sindiket Tumpas

Published: 17 Jun 2014 1.27 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan enam sindiket pengedaran dadah sepanjang minggu lalu selain merampas dadah jenis syabu dan Ecstasy dianggarkan bernilai RM10.63 juta serta menahan 11 suspek termasuk la..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/6-sindiket-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 10:15 MYT

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan enam sindiket pengedaran dadah sepanjang minggu lalu selain merampas dadah jenis syabu dan Ecstasy dianggarkan bernilai RM10.63 juta serta menahan 11 suspek termasuk lapan warga Nigeria dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Lembah Klang.

Seorang lelaki warga Nigeria yang turut terbabit dengan satu daripada sindiket dadah antarabangsa itu juga maut selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah hotel di Subang Jaya ketika cuba melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, lima daripada sindiket dadah yang ditumpaskan didalangi warga Afrika Barat dan diseludup masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pelbagai cara seperti menelan, menyembunyikan dalam bungkusan alat ganti kenderaan dan bagasi.

Menurutnya, anggaran berat keseluruhan dadah dirampas ialah 51.2 kilogram syabu dan 7,728 biji pil Ecstasy.

“Dalam serbuan pertama pada 20 Mac lalu, JSJN Bukit Aman menahan seorang lelaki dan dua wanita Nigeria di sebuah rumah di Taman D Alpinia, Puchong, Selangor serta merampas dadah jenis syabu seberat 3.26 kilogram yang disembunyikan dalam dua batang silinder besi.

“Susulan itu, polis menahan tiga lagi suspek iaitu dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam dua serbuan berasingan di Puchong dan Subang Jaya. Dalam serbuan di sebuah hotel di Subang Jaya, seorang suspek mati akibat terjatuh dari tingkat dua ketika cuba melarikan diri dan kes terbabit masih disiasat,” katanya.

Noor Rashid berkata, kejayaan kedua pula pihaknya merampas 53 bungkusan dadah seberat 36.42 kilogram yang disorokkan dalam enam silinder besi dan diseludup menggunakan kargo di KLIA pada 22 Mac lalu, namun tiada tangkapan dibuat.

Katanya, bagi tiga lagi kes pada 21 hingga 23 Mac, polis mengesan taktik penyeludupan menggunakan keldai dadah dan menahan tiga lelaki juga warga Nigeria, termasuk dua daripadanya sanggup menelan 109 ketul kapsul dadah, manakala seorang lagi membawa dadah dalam bagasi diubah suai.

“Serbuan terbaru pada Selasa lalu pula, kami menumpaskan satu sindiket dadah tempatan dengan tertangkapnya dua lelaki berusia 45 dan 58 tahun serta merampas syabu seberat 7.52 kilogram dan 7,728 pil Ecstasy di hadapan sebuah apartmen di Bukit Jalil. Turut dirampas dua kereta jenis Mercedes Benz dan Toyota Wish serta wang tunai RM1,407,” katanya.

Semua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

ArticlePublished 17 Jun 2014 1.27 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM