50 Penagih Ditahan Dalam Ops Tapis Khas Narkotik
Kuantan,
11 Okt - Polis menahan 50 suspek penagih termasuk dua wanita menerusi
Ops Tapis Khas Narkotik di kawasan Jaya Gading dan Paya Bungor, dekat
sini semalam.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad berkata semua suspek yang
merupakan warga tempatan dan berusia antara 18 dan 59 tahun terbabit
ditahan dalam operasi bermula 4 pagi hingga 6 petang.
"Ada
juga yang datang sejauh dari Seri Jaya ke sini bagi mendapatkan bekalan
dadah dan dipercayai tempat yang diserbu ini dipanggil sebagai 'Port
Betong'," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.
Aziz
berkata dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis syabu dan
heroin, peralatan menghisap dadah dan pelbagai senjata tajam termasuk
parang dan pisau.
"Kita
percaya mereka telah tiga bulan menjalankan kegiatan penagihan dan
pengedaran dadah di sini, namun polis masih menyiasat dari mana sumber
bekalan dadah itu diperoleh," katanya.
Katanya
kesemua mereka ditahan di lokap Ibu pejabat polis daerah Kuantan dan
kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 39A(2), 39B, 12(2), 15(1)(a)
Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
"Kita
juga mengalu-alukan maklumat orang awam jika dapat mengesan mana-mana
tempat yang dijadikan kawasan penagihan atau pengedaran dadah agar dapat
diambil tindakan segera," katanya.
Sumber : BERNAMA