5 000 Liter Minyak Bersubsidi Di Tawau Dan Semporna Dirampas
Tawau,
23 Jan - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 5,000 liter minyak
bersubsidi dalam dua operasi berasingan di perairan Tawau dan Semporna
dalam tempoh dua hari sejak Selasa lepas.
Komander
PPM Bukit Aman, Datuk Isa Munir berkata 3,800 liter daripada minyak itu
adalah diesel yang dirampas oleh PPM Tawau dalam operasi kira-kira
pukul 7.30 pagi di perairan Sabindo di sini pada Selasa.
"Manakala
selebihnya sebanyak 1,200 liter ialah minyak petrol yang dirampas oleh
PPM Semporna dalam operasi kira-kira pukul 1 petang di perairan Pulau
Larapan, Semporna semalam.
"Dalam
operasi di perairan Pulau Larapan Semporna itu, pihak kami turut
merampas sebuah bot laju dan dua enjin sangkut, namun kami gagal menahan
pemilik bot berkenaan.
"Manakala
dalam operasi di kawasan perairan Sabindo pula kami turut menahan
seorang lelaki warga Indonesia berumur 35 tahun serta sebuah bot yang
digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu," katanya pada sidang media di
sini hari ini.
Beliau
berkata siasatan awal mendapati minyak berkenaan dibeli di sekitar
Semporna dan Tawau dan cuba diseludup keluar untuk dijual di negara
jiran.
Menurut Isa, nilai kesemua rampasan termasuk bot ialah kira-kira RM121,000.
"Untuk
mengatasi penyeludupan seperti ini, kita berharap orang awam terus
memberikan maklumat dan kami akan memberi tindak balas pantas setiap
maklumat yang diterima," katanya.
Sumber : BERNAMA