4 Ditahan Seludup Warga Asing
JOHOR BAHRU 17 Februari 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 hari ini menahan empat lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.
Timbalan Komander Markas tersebut, Supritendan N. Kalai Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi ketika cuba memasuki perairan negara ini.
Katanya, semasa menjalankan operasi 'Ops Octopus', pihaknya mengesan kehadiran dua bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan itu. Ketika cuba dihampiri, kedua-dua bot tersebut memecut laju untuk melarikan diri.
"Selepas dikejar selama 10 minit, kami berjaya menahan kedua-dua bot itu. Hasil pemeriksaan, salah satu daripada bot itu membawa tiga pendatang asing bersama dua tekong tempatan manakala sebuah lagi bot dinaiki dua lelaki tempatan. Siasatan awal mendapati, salah seorang daripada pendatang asing yang ditahan itu disyaki terlibat dengan kes curi motosikal di Taman Universiti baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kalai Chelvan, kedua- dua bot yang dirampas kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan susulan.
"Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/1957 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan pangkalan yang tidak diwartakan untuk tujuan penyeludupan PATI secara haram," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PGM mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk sama-sama membanteras kegiatan penyeludupan PATI ke negara ini.