2011 Peningkatan Indeks Tangkapan Jenayah Narkotik Dipergiat
BUKIT AMAN - 12 JANUARI 2011
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis DiRaja Malaysia (PDRM),YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim menegaskan kejayaan PDRM dalam meningkatkan jumlah pembanterasan serta pengurangan bekalan dan permintaan dadah di negara ini akan diteruskan.
Berucap semasa kenyataan akhbar JSJN di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, beliau menyatakan, tahun 2011 menyaksikan PDRM akan terus merangka strategi dalam memantapkan penguatkuasaan undang-undang bagi menyukarkan dadah dibawa masuk ke negara ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru kesedaran dan komitmen yang berterusan daripada warga PDRM, juga penambahbaikan strategi melalui penggunaan teknologi terkini diwujudkan di setiap pintu masuk di seluruh negara terutamanya lapangan-lapangan terbang antarabangsa.
YDH CP Datuk Noor Rashid dalam ucapannya berkata, kerjasama dengan negara-negara jiran akan diwujudkan melalui proses-proses perbincangan dan pertukaran informasi khususnya dengan negara yang sering terlibat dengan penyeludupan dadah ke negara ini bagi mengurangkan permintaan bekalan dadah ke Malaysia.
Tambah beliau lagi, sokongan daripada masyarakat sekeliling adalah sangat diperlukan dalam menyalurkan maklumat dan bantuan bagi usaha membanteras dan mencegah penyalahgunaan dadah serta kerjasama pihak media dalam usaha proaktif PDRM meningkatkan kepakaran memperoleh maklumat serta risikan.
Bagi menyokong tindakan tersebut, JSJN akan mewujudkan satu unit atau bahagian dalam pasukan yang dikhususkan untuk mengumpul maklumat daripada orang ramai dan tindakan segera akan diambil terhadap maklumat yang diterima.
YDH CP Datuk Noor Rashid berharap, dengan strategi dan pendekatan yang dirangka ini akan mencapai objektif, seterusnya mengekalkan prestasi cemerlang PDRM .
STATISTIK TANGKAPAN JSJN DARI 2009- 2010
Sepanjang 2010, JSJN telah menahan seramai 157,756 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan narkotik berbanding 125,620 orang pada 2009 dengan peningkatan sebanyak 25.6 peratus.
Hasil tangkapan ini membuktikan JSJN berjaya meningkatkan pencapaian pembanterasan melalui penguatkuasaan undang-undang ke arah pengurangan bekalan dadah sebanyak 22.8 peratus (10,427 tangkapan) dan penguatkuasaan undang-undang ke arah pengurangan pemintaan dadah sebanyak 25.8 peratus (147,329 tangkapan).
Ancaman utama yang mampu menjejaskan keselamatan negara adalah penyeludupan dadah oleh sindiket pengedaran dadah oleh warganegara asing. Sehubungan itu, seramai 1,432 warganegara asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik berbanding 969 orang pada 2009 dengan catatan peningkatan sebanyak 48 peratus.
Warganegara Iran merupakan majoriti yang ditahan atas cubaan menyeludup masuk dadah ke dalam negara melalui laluan udara iaitu seramai 122 daripada 183 orang di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seluruh Malaysia. Jumlah tangkapan tersebut mencatat peningkatan peratusan yang mendadak sebanyak 771 peratus berbanding hanya 21 tangkapan dibuat pada tahun sebelumnya.
Tahun 2010 juga menyaksikan JSJN berjaya menumpaskan 21 makmal haram memproses dadah (kitchen lab) di seluruh negara berbanding 11 buah makmal pada 2009 dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 91 peratus. Siasatan polis mendapati kebanyakan aktiviti memproses dadah tersebut dilakukan oleh mereka yang kurang berkemahiran.
Secara keseluruhannya, sebanyak RM 270.78 juta nilai dadah berjaya dirampas dan RM 67.79 harta telah disita bagi tahun 2010.
Pengarah JSJN, YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim menyeru sekali lagi agar masyarakat sentiasa mengambil tahu dan peka terhadap keadaan sekeliling tempat kediaman dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesyaki atau mengetahui terdapat individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti mencurigakan di kawasan tersebut.
Sidang Akhbar oleh YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman..

Antara jemputan media yang hadir semasa sidang akhbar..
Wartawan : Konst Irfan Bujang
Jurufoto : Konst Raymond Martin
Penyunting : F29 Siti Fatimah bt Abdul Manan