20 Individu Ditangkap Disyaki Jalankan Aktiviti Mesin Judi
KUCHING:
Seramai 20 individu termasuk tiga warganegara Indonesia dan tiga lagi
dari Filipina ditangkap dalam serbuan serentak ke atas dua premis di
Pusat Komersial Pelita, Miri kerana disyaki menjalankan aktiviti mesin
judi.
Menurut Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak
DSP Ahmad Asri Jamaludin, dua pasukan polis Cawangan D7 terdiri
daripada dua pegawai dan sembilan anggota membuat serbuan itu sekitar
jam 8.30 malam Sabtu lalu.
Tiga individu yang ditangkap adalah penjaga premis dan kesemua ditangkap berumur dalam lingkungan 17 tahun hingga 52 tahun.
Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan. Turut dirampas ialah 19 komputer serta wang tunai lebih RM1,000.
Asri
turut memberitahu, dalam serbuan berasingan di Limbang antara jam 9.10
hingga 9.30 pagi, serbuan di empat premis di Limbang menyaksikan 14
lelaki dan empat wanita ditangkap. Serbuan
itu dibuat dua pasukan polis Cawangan D7, IPK Sarawak bersama anggota
daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Limbang terdiri daripada dua
pegawai dan 13 anggota.
Empat premis di rumah kedai sekitar bandar Limbang itu diserbu selepas disyaki menjalankan aktiviti mesin perjudian.
Rampasan termasuk wang sebanyak RM1,879 dan30 set komputer. Kesemua yang ditangkap berumur antara 17 tahun hingga 56 tahun.
Kesemua tangkapan dan rampasan itu dibuat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (mesin perjudian).
Sumber : Utusan Borneo