10 Lelaki Tempatan Seorang Myanmar Ditahan Kerana Seludup D
Johor Baharu, 16 Julai - Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPMW2) menahan
10 lelaki tempatan dan seorang lelaki Myanmar di sini semalam kerana
dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel
bersubsidi.
Dalam serbuan ke atas sebuah stor di Kampung Ungku Mohsin, Larkin pada 11 malam itu, PPMW2 merampas 14 buah kenderaan terdiri daripada lapan lori tangki dan enam kereta pacuan empat roda dengan muatan 54,200 liter diesel dianggarkan bernilai RM97,560.
"Keseluruhan rampasan minyak diesel bersama kenderaan yang ditahan dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
"Suspek
dan barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Baharu untuk tindakan
lanjut," kata Komander PPMW2 ACP Zainul Abidin Hasan dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, tangkapan tersebut adalah yang ketiga bagi tahun ini.
Keseluruhan rampasan sehingga kini ialah sebanyak 353 juta liter dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM636 juta.
Tahun
lalu PPMW2 berjaya membuat empat kes tangkapan penyeludupan minyak
diesel bersubsidi kerajaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berjumlah
80,000 liter dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM144,000.
Zainul
menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan yang
menyalahi undang–undang khasnya penyeludupan manusia dan barangan
bercukai serta jenayah–jenayah maritim menghubungi PPMW2 di 07–2372222
atau 07–2376122.
Sumber : BERNAMA