Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

2 Lelaki Ditahan Pistol Dan Dadah Dirampas

Diterbitkan: 16 Jun 2014 2.44 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
JOHOR BAHRU: Dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata api ditahan bersama sepucuk pistol, dadah dan beberapa barangan untuk melakukan samun dalam satu sekatan jalan raya di Jalan..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/2-lelaki-ditahan-pistol-dan-dadah-dirampas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 23:16 MYT

JOHOR BAHRU: Dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata api ditahan bersama sepucuk pistol, dadah dan beberapa barangan untuk melakukan samun dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Yong Peng-Labis di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata beberapa anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di lokasi terbabit menahan sebuah kereta Proton Perdana dinaiki dua lelaki berusia 20 dan 23 tahun, kira-kira jam 3 pagi itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas salah seorang lelaki berkenaan menemui tiga paket serbuk putih dan beberapa biji pil dipercayai dadah dalam beg sandang.

“Pemeriksaan lanjut polis pada kenderaan suspek seterusnya menemui revolver bersama tiga butir peluru hidup dan sepucuk pistol model 500 7.65 milimeter mengandungi satu kelopak dengan dua butir peluru.

“Selain itu, polis turut menemui sebuah kotak mengandungi 10 butir peluru hidup pelbagai jenis, tiga batang 'allen key' dan dua batang pemutar skru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK Johor) di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, hasil penahanan dua suspek terbabit, polis seterusnya menahan seorang lagi rakan suspek berusia 24 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

Dalam kes berlainan, Mohd Mokhtar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi Isnin lalu, anggota polis dari Balai Taman Ungku Tun Aminah menahan dua remaja lelaki berusia 13 dan 15 tahun yang dipercayai mencuri wang sebanyak RM350 dari sebuah kedai kopi, sejam sebelum itu, di taman sama.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak bersekolah, dipercayai memecah masuk premis dengan mengumpil pintu belakang kedai sebelum mencuri wang terbabit.

“Pemilik kedai yang tinggal di tingkat satu bangunan kedai dua tingkat itu dikatakan terdengar kegiatan suspek dan turun ke premis kedai, sebelum terlihat dua remaja itu melarikan diri.

“Selepas memeriksa kedainya, beliau dapati wang sebanyak RM350 hilang dipercayai dilarikan suspek,” katanya.

Katanya, hasil maklumat itu polis peronda Taman Ungku Tun Aminah yang meronda di Jalan Pendekar 17, mengesan suspek yang sedang berjalan kaki sebelum menahan kedua-dua mereka.

“Suspek sempat mencampakkan wang ke dalam longkang ketika dikejar polis namun mereka dapat ditahan sebelum dicam pemilik kedai terbabit,” katanya.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 2.44 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM